Pandang Pertama Xiaomi Mi A1 – Dwi-Kamera, Android Asli

Pandang Pertama Xiaomi Mi A1 – Dwi-Kamera, Android Asli

Diterbitkan pada Sep 6, 2017 oleh .

Xiaomi mungkin agak sibuk pada bulan September ini. Sementara ramai yang menantikan telefon pintar dengan bingkai yang sangat nipis daripada mereka, iaitu Mi Mix 2 yang dijangka dilancarkan pada minggu hadapan, 11 September – hari ini pengeluar China berkenaan mengambil peluang mengadakan acara global dan melancarkan salah satu telefon pintar baru, iaitu Xiaomi Mi A1.

Xiaomi Mi A1

Xiaomi Mi A1 secara kasarnya adalah sebuah telefon pintar Xiaomi Mi 5X, tetapi disasarkan untuk pasaran global. Antara perubahan yang dibawakan adalah termasuk penggunaan sistem operasi Android asli tanpa penambahan antaramuka MIUI, selain peranti Mi A1 ini turut dikatakan hadir dengan lapisan tambahan didalam untuk menjadikan peranti kurang panas berbanding kebiasaan.

Dari segi spesifikasi, penawarannya adalah sama seperti Xiaomi Mi 5X. Xiaomi menggunakan skrin bersaiz 5.5-inci pada telefon pintar ini dengan paparan HD penuh, melengkapkan ia dengan cip Snapdragon 625 yang digunakan pada kebanyakkan peranti lain, serta menawarkan memori 4GB RAM serta ruangan storan 64GB yang boleh diperluaskan menggunakan kad mikro-SD.

Xiaomi Mi A1 ini menggunakan rekaan kerangka berasaskan logam sepenuhnya. Ia menggunakan butang kapasitif atas kerangka dan bukannya di atas skrin, selain turut menyertakan pengimbas cap jari di belakang telefon pintar.

Xiaomi Mi A1

Xiaomi Mi A1

Xiaomi menekankan kepada penggunaan rekaan kerangka yang melengkung pada bahagian tepi – membuatkan ia lebih selesa di tangan untuk dipegang. Disamping itu, Xiaomi turut menambah lapisan khusus pada kerangka luaran untuk mengurangkan kesan cap jari di atas peranti. Daripada percubaan kami sendiri, kesan cap jari yang kelihatan pada peranti adalah sangat sedikit jikalau dibandingkan dengan peranti lain dengan rekaan kerangka lebih kurang sama.

Android One

Seperti dikatakan pada awal, Xiaomi Mi A1 hadir dengan antaramuka asli Android dan bukannya menggunakan MIUI. Xiaomi bekerjasama dengan Google untuk tujuan ini, dan ia diletakkan dibawah inisiatif Android One.

Walaubagaimanapun, inisiatif Android One kali ini adalah sedikit berbeza dengan penawaran peranti Android One lain sebelum ini. Untuk Xiaomi, Google tidak menyediakan sebarang rangka untuk penggunaan spesifikasi khusus dan sebagainya.

Xiaomi Mi A1

Malah, Xiaomi Mi A1 menawarkan aplikasi kamera yang diubah-suai – tetapi menggunakan antaramuka asli aplikasi Google Camera, serta dipautkan ke Google Photos. Aplikasi kamera ini diubah-suai untuk menyokong dwi-kamera, serta ciri tambahan daripada Xiaomi, iaitu mod Beautify pada bahagian kamera hadapan. Kamera belakang juga menyokong rakaman video pada resolusi 4K, selain mod khusus seperti zoom optikal 2x, dan juga mod Potrait.

Xiaomi Mi A1

Bercakap lanjut mengenainya, pihak Xiaomi turut mengatakan kepada kami yang mana kemaskini Android akan ditawarkan daripada pihak Xiaomi, dan bukannya Google. Tetapi, seperti biasa, ia akan melalui pengesahan daripada Google terlebih dahulu. Mereka menjanjikan kemaskini Android 8.0 Oreo akan hadir ke peranti ini sebelum penghujung 2017 kelak. Jadi, pengguna masih boleh menikmati kemaskini semasa dengan pantas – malah boleh dikatakan jauh lebih pantas daripada para pengeluar peranti lain di pasaran.

Kamera

Pada bahagian kamera, Xiaomi menggunakan gabungan lensa 12-megapixel dibelakang. Satu lensa memfokuskan kepada sokongan telefoto, sementara satu lagi memfokuskan kepada rakman sudut luas. Xiaomi melabelkan lensa yang digunakan ini sebagai lensa flagship seumpama digunakan pada iPhone 7 Plus.

Dengan menggunakannya, pengguna Xiaomi Mi A1 boleh menggunakan sokongan zoom optikal sehingga 2 kali, atau sokongan zoom digital sehingga 10 kali. Disamping itu, ia juga menyokong ciri rakaman gambar Potrait yang popular, atau turut dipanggil ramai sebagai bokeh. Melaluinya, pengguna boleh memfokuskan kepada objek dihadapan, dan mengaburkan bahagian belakang – sangat sesuai sekiranya anda ingin merakamkan gambar wajah seseorang dan sebagainya.

Xiaomi Mi A1

Xiaomi Mi A1

Xiaomi Mi A1

Xiaomi Mi A1

Xiaomi Mi A1

Percubaan ringkas kami memperlihatkan hasil rakaman yang baik menggunakan Mi A1 ini. Seperti biasa, kami akan terus mencubanya, dan akan memberikan ulasan lanjut mengenai sokongan kamera pada telefon pintar ini. Buat masa ini, satu-satunya kekurangan bagi kami pada peranti ini adalah ketiadaan sokongan penstabilan imej optikal – sekaligus menjadikan kadang-kala gambar sedikit kabur kerana tangan tergerak.

Penutup

Daripada percubaan ringkas kami, Xiaomi Mi A1 dilihat menawarkan penggunaan yang lancar, dan dengan antaramuka asli Android, ia menjadikan pelbagai penggunaan ringkas dan menarik. Seperti biasa, mungkin terdapat ramai yang tidak menyukai antaramuka asal Android, apatah lagi memandangkan sejumlah ciri-ciri seperti penggunaan dwi-aplikasi dan sebagainya yang terdapat pada MIUI tidak ditawarkan pada versi Android asli ini. Namun, penggunaan antaramuka ini mempunyai peminatnya tersendiri – terutamanya peminat Android, dan mereka yang inginkan penawaran “ringkas” tanpa penambahan pelbagai ciri-ciri yang kurang digunakan.

Disamping itu, ini juga mungkin sebuah peranti yang sesuai untuk mereka yang baru beralih ke arena telefon pintar tetapi inginkan suatu peranti dengan binaan dan ciri kamera yang baik. Xiaomi menyasarkan untuk melancarkan telefon pintar ini di Malaysia pada penghujung September ini. Kami di Amanz akan berusaha menawarkan ulasan penuh telefon pintar dengan penggunaan Android asli serta dwi-kamera belakang ini menjelang pelancaran Xiaomi Mi A1 di Malaysia.


TIPS & ULASAN