Kenderaan Google Street View Dikemaskini Dengan Kamera Beresolusi Lebih Tinggi
Artikel Berkaitan

Kenderaan Google Street View Dikemaskini Dengan Kamera Beresolusi Lebih Tinggi

Diterbitkan pada Sep 6, 2017 oleh .

Google Street View amat berguna untuk melihat kawasan sekeliling tanpa meninggal komputer atau telefon pintar. Di Malaysia lebih 90% jalan awam telah dipetakan oleh Google Street View sejak memulakan operasi pada tahun 2014. Google telah memperlihatkan rekaan baru kenderaan Street View mereka. Ini adalah kemaskini rekaan terbesar sejak lapan tahun kebelakangan ini.

Perubahan pertama ialah kamera dengan resolusi lebih tinggi. Sebanyak tujuh kamera dengan resolusi 20-Megapixel digunakan pada modul Street View berbanding 15 kamera sebelum ini. Ini menjadikan bebola kamera di atas kenderaan yang cukup dikenali menjadi lebih kecil. Dua buah kamera yang memandang pada sisi kenderaan pula digunakan untuk mengambil gambar perniagaan yang wujud sepanjang perjalanan.

Google menggunakan pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan untuk mengenalpasti nama perniagaan dan jalan di dalam gambar yang dirakam. Sistem kecerdasan buatan cukup pintar untuk mengenalpasti nama kedai dengan membezakan tanda dagang jenama yang mungkin terpapar pada papan tanda kedai.

Penggunaan kamera baru ini menghasilkan gambar yang bukan sahaja lebih jelas tetapi turut memaparkan warna yang lebih bermaya berbanding imej sebelum ini. Perbezaannya boleh anda lihat di atas. Street View ialah usaha Google untuk merekodkan dunia sebenar seperti mereka merekodkan kandungan internet. Data dari Street View boleh digunakan untuk melihat pembangunan dari tahun ke setahun.

Buat masa ini hanya beberapa kawasan telah diambil menggunakan kamera baru Street View. Street View telah memetakan lebih 16 Juta kilometer jalan raya setakat ini. Kesemua ini bakal dirakam semula untuk imej yang lebih baik.


TIPS & ULASAN