Apple Dan Amazon Dilaporkan Berminat Untuk Mendapatkan Hak Filem James Bond

Apple Dan Amazon Dilaporkan Berminat Untuk Mendapatkan Hak Filem James Bond

Diterbitkan pada Sep 7, 2017 oleh .

Dengan perkembangan arena internet, kini salah satu perkara yang diberikan fokus utama oleh pelbagai syarikat internet adalah berkenaan dengan penawaran kandungan. Apple, Facebook, Amazon, Google, Netflix dan sebagainya bersaing antara satu sama lain dalam mendapatkan pelbagai hak eksklusif untuk membolehkan pengguna hanya mendapatkan sesuatu kandungan melalui platform mereka.

Kini, menurut laporan Hollywood Reporter, ia dikatakan Amazon dan Apple turut bersaing dalam mendapatkan hak untuk filem James Bond.

Untuk makluman, sebelum ini, hak filem James Bond dipegang oleh Sony, tetapi ia telah luput pada 2015 lepas. Kini, MGM, penerbitnya sedang melihat kepada pengedar baru – termasuk berbincang dengan Warner Bros dan lain-lain. Amazon dan Apple dikatakan antara syarikat teknologi yang turut menyertai bidaan untuk mendapatkan hak filem berkenaan.

Seperti ramai sedia maklum, watak perisik James Bond sedia popular di seluruh dunia, dan buat masa ini, ia hanya ditawarkan dalam bentuk filem sahaja. Tidak mustahil sekiranya Apple atau Amazon mendapatkannya, ia akan diperluaskan ke penawaran lain seperti siri-TV dan sebagainya.

Dengan perkembangan ini, mungkinkah kita akan melihat pelbagai rancangan popular lain turut menjadi tarikan syarikat teknologi untuk mendapatkan haknya?


TIPS & ULASAN