Cari @ Amanz

HMD Global sebelum ini telah memulakan langkah mereka dalam memasarkan telefon pintar berjenama Nokia di Malaysia pada akhir Mei lalu, menerusi perkenalan Nokia 3, Nokia 5, dan Nokia 6. Ketiga-tiga telefon pintar ini walau bagaimanapun hadir dengan spesifikasi kelas permulaan, yang mana pastinya tidak memenuhi kepuasan pengguna yang mahukan sebuah peranti berkuasa. Setelah hampir empat bulan mereka memasarkan ketiga-tiga telefon pintar ini, kini mereka telah hadir dengan Nokia 8 yang direka untuk pengguna yang mahukan pengalaman terbaik pada peranti Nokia berasaskan Android.

Nokia 8 merupakan flagship sulung yang dikeluarkan oleh HMD Global, yang merangkumi penggunaan cip pemprosesan terpantas setakat ini, selain dijana dengan dwi-kamera berasaskan lensa Zeiss. Ia juga menawarkan keupayaan rakaman video serentak melalui kamera hadapan dan belakang, disamping memberikan sokongan rakaman audio 360-darjah melalui fungsi Nokia OZO. Seperti peranti yang dikeluarkan oleh mereka sebelum ini, Nokia 8 turut membawakan sistem Android berasaskan antaramuka hampir kepada stock seperti mana yang hadir pada peranti Google Pixel.

Rekaan

Nokia 8 menawarkan spesifikasi yang anda boleh dapati pada kebanyakan flagship Android pada saat ini, seperti kehadiran skrin 5.3-inci Quad HD berasaskan panel IPS LCD, cip pemprosesan Snapdragon 835, memori 4GB RAM, dan storan dalaman 64GB bersama sokongan luaran microSD. Melengkapkan lagi peranti ini ialah sokongan splash-proof IP54, Bluetooth 5.0, sokongan pengecasan pantas Quick Charge 3.0, dan bateri berkapasiti 3090 mAh.

Untuk rekaannya, Nokia 8 boleh dikatakan membawa rekaan seumpama Nokia 5 sebelum ini, namun dipertingkatkan dengan binaan logam berasaskan aluminium 6000 series. Ia menawarkan sejumlah penawaran warna seperti Polished Blue, Tempered Blue, dan Steel, namun bagi anda yang ingin mendapatkan warna Polished Copper, ia hanya ditawarkan pada akan datang.

Binaan belakangnya direka dengan sentuhan yang sedikit melengkung, yang mana agak selesa apabila berada di tangan. Binaan belakangnya tidak mudah untuk memerangkap cap jari, namun saya boleh katakan agak licin apabila digunakan untuk penggunaan sebelah tangan. Binaan kameranya juga tidak begitu terkeluar, yang mana hanya mengambil sekitar 0.4mm sahaja untuk ketinggian camera bump pada peranti ini.

Pada bahagian hadapannya pula, ia membawakan panel berasaskan kaca Corning Gorilla 5 untuk perlindungan dari kesan calar atau retakan. Di bahagian bawah peranti ini menempatkan butang navigasi kapasitif, selain hadir dengan pengimbas cap jari yang juga berfungsi sebagai butang home. Bagi saya, binaan hadapannya masih kelihatan kemas dan elegan, walaupun tidak menawarkan rekaan bezeless yang menjadi trend daripada pengeluar peranti masa kini.

Untuk port sambungan, ia masih menawarkan sambungan earphone jack 3.5mm pada bahagian atas, disamping menempatkan sambungan USB-C pada bahagian bawah peranti. Untuk pembesar suara, ia hanya membawakan satu saluran pembesar suara sahaja di bahagian bawah – tidak seperti Nokia 6 yang menawarkan pembesar suara stereo. Nokia 8 juga membawakan fungsi dwi-sim berasaskan hibrid, yang menempatkan Nano-SIM (pada SIM 1) + Nano-SIM/microSD (pada SIM 2).

Android Dengan Antaramuka Hampir Kepada Stock

Nokia 8 masih menawarkan sistem operasi Android berasaskan antaramuka hampir kepada stock, melalui penggunaan Android 7.1.1 Nougat. Seperti peranti Android keluaran mereka sebelum ini, HMD Global bakal menghadirkan kemaskini sekuriti secara bulanan untuk Nokia 8, selain menjanjikan kemaskini Android 8.0 Oreo pada masa akan datang.

Antaramuka yang hadir boleh dikatakan hampir sepenuhnya berasaskan stock, dengan sedikit pengubahsuaian dari segi launcher dan beberapa penambahan fungsi. Untuk launcher yang hadir, ia membawakan paparan launcher seumpama yang hadir pada peranti Google Pixel, dengan paparan Google Now pada bahagian kiri dan sokongan shortcut apabila membuat hold seumpama 3D Touch pada ikon aplikasi. Paparan app drawer juga membawa antaramuka yang serupa, tanpa sokongan penukaran grid dan pengubahsuaian kedudukan aplikasi.

Antara fungsi tambahan yang hadir pada Nokia 8 ialah fungsi Glance Screen yang pernah hadir pada peranti asal Nokia, dengan memaparkan paparan seperti jam dan informasi ringkas pada lockscreen. Ia juga membawakan fungsi Motion, yang membolehkan pengguna reject sesuatu panggilan dengan hanya meletakkan paparan hadapan peranti di atas permukaan rata. Ia juga didatangkan dengan sejumlah nada dering nostalgia Nokia, yang mana pastinya menggamit memori anda sewaktu mendengar nada dering panggilan atau bunyi notifikasi pada peranti ini.

Untuk aplikasi, peranti ini tidak dibebankan dengan pemasangan bloatware dan sejumlah aplikasi pihak ketiga lain, bagi memastikan keselesaan dan kelancaran peranti. Ia hanya didatangkan dengan sejumlah aplikasi daripada Google sahaja, bersama aplikasi daripada HMD Global sendiri seperti Camera dan Support. Untuk paparan seperti gambar, ia bergantung pada Google Photos sepenuhnya, membuatkan pengguna yang tidak biasa akan mencari aplikasi berbentuk Gallery untuk melihat gambar yang diambil. Namun dengan sejumlah aplikasi berasaskan Gallery pada Google Play Store, ia masih tetap boleh dipasang sekiranya anda mahukan sebuah aplikasi yang memang direka untuk fungsi Gallery.

Kamera

Selain bertindak sebagai peranti flagship, Nokia 8 juga merupakan percubaan sulung daripada HMD Global untuk keupayaan dwi-kamera dengan sokongan optik Carl Zeiss. Ia dijana dengan sistem dwi-kamera seperti yang hadir pada Huawei P10, dengan membawakan sensor 13MP (RGB + OIS) + 13MP (Monokrom) melalui bukaan aperture f/2.0. Ia juga dilengkapi dengan sokongan pemfokuskan PDAF dan laser, selain menawarkan keupayaan dual-tone LED Flash untuk sokongan pencahayaan ketika waktu malam.

Tidak seperti Huawei P10, Nokia 8 tidak didatangkan dengan sokongan Hybrid Zoom, sekaligus tidak membenarkan pengguna mendapatkan kualiti yang tinggi apabila membuat zoom pada objek. Namun ia masih memberikan penggambaran Portrait Mode menerusi fungsi Live Bokeh, yang membolehkan pengguna mendapatkan hasil seumpama yang diambil daripada kamera DSLR. Menariknya, gambar yang diambil daripada mod Live Bokeh ini boleh diubah dari segi kedudukan fokus dan kekuatan blur selepas gambar diambil.

Untuk kualiti gambar biasa tanpa kesan bokeh, warnanya dilihat neutral dan mampu memberikan keperincian imej yang tajam. Ia juga mampu memberikan gambar dengan kesan dynamic range yang begitu baik, terutama digunakan ketika mengambil gambar berlatar belakangkan cahaya. Cuma untuk gambar dengan kesan bokeh, ia tidaklah sebaik Huawei P10, Galaxy Note 8, mahupun iPhone 7 Plus, namun untuk percubaan pertama, ia masih mampu memberikan hasil yang menarik untuk dilihat pengguna.

Untuk keupayaan selfie, Nokia 8 menawarkan kamera hadapan 13MP f/2.0 dengan keupayaan PDAF untuk pemfokusan wajah. Hasil percubaan awal, saya cukup suka dengan kualiti selfie kamera ini, yang memberikan keperician imej selfie dengan cukup tajam, bersama perwarnaan yang hampir sama dengan warna kulit sebenar. Sekiranya anda gemar melakukan vlog, kamera hadapan ini turut dilengkapi dengan rakaman beresolusi tinggi 4K seperti yang hadir pada ASUS ZenFone 4 Selfie Pro.

Nokia 8 juga dilihat memfokuskan kepada rakaman untuk kamera hadapan dan belakang secara serentak, melalui fungsi Dual-Sight Mode atau dikenali sebagai #Bothie. Manfaat daripada penggambaran ini, anda boleh memaparkan reaksi dan perkara yang sedang berlaku di hadapan anda, yang mana boleh dilakukan untuk penggambaran imej statik, rakaman video, mahupun digunakan untuk penstriman secara langsung. Buat masa ini, sokongan penstriman #Bothie ini boleh dilakukan untuk Facebook dan YouTube, dengan penambahan beberapa perkhidmatan lain untuk akan datang.

Bagi meningkatkan pengalaman audio yang menarik sewaktu menonton rakaman video yang diambil daripada peranti ini, Nokia 8 turut dijana dengan sokongan Nokia OZO yang membolehkan pengguna mendengar binaural audio dalam bentuk 360-darjah. Ia dapat memanfaatkan pengguna mendengar audio seolah-olah berada pada lokasi, yang mana dibantu melalui penggunaan 3 mikrofon yang terbina pada peranti ini. Sebagai contoh, sekiranya anda merakam suasana sewaktu hujan di Kuala Lumpur menggunakan Nokia 8, anda akan dapat mendengar bunyi kenderaan dari pelbagai arah, bunyi hujan di bahagian bawah, dan bunyi percakapan anda dari bahagian tengah.

Penutup

Nokia 8 dilihat bersaing dengan beberapa peranti flagship yang berpatutan seperti OnePlus 5 dan Xiaomi Mi 6 yang mana ditawarkan pada harga di bawah RM2500. OnePlus 5 dilihat lebih sesuai bagi pengguna yang gemar membuat kustomasi, mahukan ketahanan bateri lebih lama, selain direka dengan paparan skrin AMOLED. Sekiranya anda mahukan rekaan peranti yang lebih menarik, sokongan IR blaster, dan rekaan yang lebih kecil, Xiaomi Mi 6 dilihat lebih sesuai untuk anda. Tetapi sekiranya anda mahukan slot microSD, dwi-kamera dengan optik yang lebih baik, dan sokongan rakaman audio yang lebih imersif, Nokia 8 memberikan pakej peranti yang lebih bernilai.

Bagi saya, Nokia 8 boleh dikatakan antara flagship yang menawarkan fungsi dan spesifikasi yang menarik untuk tahun ini, yang mana tidak memerlukan anda berbelanja tinggi untuk mendapatkannya. Dengan harga RM2,299, ia mempunyai penawaran yang cukup berbaloi untuk harganya, seperti kehadiran cip Snapdragon 835, sokongan dwi-kamera dengan optik Carl Zeiss, dan sokongan rakaman audio binaural terulung pada peranti mudah-alih melalui Nokia OZO. Selain itu, ia juga menyajikan beberapa teknologi terkini seperti sokongan Bluetooh 5.0, Quick Charge 3.0, USB-C, penggunan skrin Quad HD, yang mana mampu menambah nilai future proof sekiranya anda ingin mencari peranti untuk kegunaan beberapa tempoh akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd