5 Perkara Yang Ingin Kami Lihat Pada Xiaomi Mi MIX 2

5 Perkara Yang Ingin Kami Lihat Pada Xiaomi Mi MIX 2

Diterbitkan pada Sep 11, 2017 oleh .

Xiaomi Mi MIX 2 akan dilancarkan hari ini dan kami amat menantikan kemunculannya. Ini adalah kerana Mi MIX yang dilancarkan tahun lalu bertanggungjawab ke atas trend peranti dengan rekaan hampir semua skrin dan bezel nipis yang dilihat tahun ini. Sungguhpun begitu ia bukan peranti yang sempurna dengan beberapa kelemahan. Berikut ialah lima perkara yang ingin kami lihat pada Xiaomi Mi MIX 2.

Baca :  Ulasan Xiaomi Mi MIX – Konsep Yang Inovatif Tetapi Kurang Praktikal

1. Kerangka Lebih Tahan Lasak

Kerangka seramik Mi MIX adalah antara yang tercantik pernah kami lihat. Seramik tidak mudah tercalar berbanding kaca tetapi ia tidak tahan hentakan berbanding aluminium. Apabila terjatuh, Mi MIX mengalami kerosakan maut kerana kerangka retak dan tidak boleh diperbaiki dengan mudah.

Tahun ini kami berharap seramik digantikan dengan bahan lebih tahan lasak seperti titanium. Ini telahpun kita lihat pada Essential Phone. Memandangkan Mi MIX 2 bakal menjadi peranti yang menggunakan teknologi terbaik Xiaomi, penggunaan bahan eksotik seperti titanium amat kami harapkan.

2. Kamera Yang Lebih Baik

Xiaomi Mi MixXiaomi Mi MIX ialah sebuah peranti yang bukan sahaja cantik tetapi mempunyai spesifikasi yang tinggi ketika dilancarkan. Kami tidak mengalami sebarang masalah dengan kemampuan melakukan tugasan peranti ini. Masalah kami terletak pada kamera 16-Megapixel f/2,0 yang kurang memuaskan.

Gambar kurang bermaya dengan penghasilan warna kurang tepat serta gambar yang gelap. Dalam situasi pencahayaan yang rendah, kualiti gambar semakin mengecewakan kerana lensa f/2.0 yang digunakan. Kamera juga tidak sepantas pesaing. Pada tahun 2017, kamera yang baik adalah keperluan pada peranti utama terutamanya yang dijual pada harga premium.

Xiaomi Mi 6 dan Mi A1 kedua-duanya dilengkapi sistem dwi-kamera yang baik. Teknologi dwi-kamera bukan lagi asing buat Xiaomi dan kami percaya ia akan digunapakai pada Mi MIX 2.

3. Skrin OLED HDR

Dengan skrin sebesar 6.44″, Mi MIX adalah antara peranti dengan skrin terbesar tahun lalu. Tetapi hanyalah skrin IPS LCD dengan skrin beresolusi 1080P. Tahun ini skrin OLED dengan sokongan HDR sudah diperkenalkan. OIeh itu kami mengharapkan Mi MIX 2 sekurang-kurangnya dilengkapi skrin  OLED HDR pada resolusi QHD. Ini membolehkannya bersaing dengan LG V30 dan Note 8 di dalam segmen peranti utama premium.

4. Pembesar Suara Telefon Yang Lebih Terang

Xiaomi Mi Mix

Bagi menghasilkan rekaan hampir semua skrin dengan bezel yang nipis, Mi MIX menggunakan pembesar suara piezoelektrik pada gagang telefon. Getaran dari dalam dipindahkan ke telinga pengguna ketika melakukan panggilan telefon. Ini ialah teknologi yang jarang dilihat pada peranti dan kini tahu sebabnya. Kualiti panggilan suara adalah tidak memuaskan jika dibandingkan dengan sistem pembesar suara biasa dan sokongan VoLTE.

Telefon pintar masih perlu berfungsi sebagai telefon. Sekiranya kualiti suara panggilan telefon adalah kurang jelas maka peranti gagal sebagai sebuah telefon. Terdengar ura-ura teknologi piezoelektrik akan digunakan sekali lagi. Diharap Xiaomi mendengar maklum balas dari pengguna nak memperbaiki antara kelemahan paling ketara ini pada Mi MIX 2.

5. Perisian Yang Mengoptimasikan Penggunaan Skrin Besar

Xiaomi Mi Mix 2

Kami agak kecewa dengan Mi MIX kerana tidak menggunakan skrin yang besar dengan lebih meluas. Tiada fungsi multi-window pada waktu tersebut yang membolehkan dua aplikasi dilancarkan secara serentak. Fungsi seakan Galaxy Note untuk melakar juga tidak ada. Pendek kata Mi MIX hanya sebuah peranti berskrin besar tetapi tidak dilengkapi aplikasi yang menggunakan skrin dengan baik.

MI MIX 2 dipercayai akan menggunakan Android Nougat. Sekurang-kurangnya kini fungsi multi-window akan disokong secara natif. Kami ingin dikejutkan dengan fungsi-fungsi lain seperti mana kami dikejutkan dengan kemunculan Mi MIX tahun lalu dengan rekaan yang merevolusikan industri.


Ini adalah lima perkara yang ingin kami lihat pada Xiaomi Mi MIX 2. Pelancarannya akan berlaku sekitar dua petang kelak. Kami akan melaporkan pelancarannya secara langsung dari China. Teruskan bersama Amanz untuk informasi teknologi terkini.


TIPS & ULASAN