Xiaomi hari ini mengadakan acara media mereka untuk memperkenalkan beberapa produk baru, dan yang paling pertama sekali diumumkan oleh Xiaomi adalah komputer riba berkuasa tinggi terbaru mereka, iaitu Mi Notebook Pro.
Xiaomi Mi Notebook Pro hadir dengan skrin 15.6-inci menggunakan rekaan bingkai tepi yang sedikit nipis, cip pemprosesan Intel Core Generasi ke-7 dengan pilihan Core i5 atau i7, sokongan kad grafik GeForce MX150, memori sehingga 16GB RAM, dan dilengkapi rekaan kerangka berasaskan logam tanpa sebarang logo pada bahagian luaran.
Komputer riba ini hadir dengan sistem operasi Windows 10, dan turut menyertakan ciri Windows Hello untuk sokongan sekuriti tambahan. Ia turut menawarkan papan kekunci yang selesa pada jari, dan touchpad yang lebih jitu.
Xiaomi akan memasarkan komputer riba ini di pasaran China pada harga bermula RMB5599 iaitu sekitar RM3615. Seperti beberapa komputer riba Xiaomi sebelum ini, kebarangkalian untuk melihatnya dilancarkan di Malaysia adalah sangat kecil. Sebelum ini, Xiaomi mengatakan kepada kami ia tidak akan dibawa ke Malaysia kerana komputer riba keluaran Xiaomi ini menggunakan lesen Windows 10 khusus untuk pasaran China dengan hanya satu bahasa.