Carian
Xiaomi Mi MIX 2 Dilancarkan – Snapdragon 835, Tubuh Seramik Dan Tanpa Bicu Audio
September 11, 2017 Effi Saharudin

Xiaomi Mi MIX 2 dilancarkan sebentar dan membawakan perubahan berbanding model tahun lalu. Pertama sekali rekaan semua skrin dikekalkan dan kali ini menggunakan skrin bernisbah 18:9 berbanding 17:9 pada Mi MIX asal. Rekaan baru skrin ini mengurangkan saiz dagu peranti sebanyak 12%. Seperti tahun lalu kamera selfie masih lagi diletakkan di bucu bawah sebelah kanan.

Dari segi spesifikasi ia kini dilengkapi skrin 5.99″ IPS LCD FHD+, diperkasakan pemproses Snapdragon 835, memori sebesar 6GB RAM, storan 64/128/256 GB. Hanya sebuah kamera utama 12-Megapixel Sony IMX 386 f/2.0 dengan sokongan OIS 4 paksi disertakan pada bahagian belakang dan kamera selfie pula sebesar 5-Megapixel. Ini ialah sama dengan kamera utama yang ditemui pada Mi 6 sebelum ini.

Bingkai Mi MIX 2 diperbuat daripada logam aluminium dengan permukaan lain diperbuat daripada seramik. Rekaannya lebih bulat pada bahagian sisi bagi meningkatkan keselesaan memegangnya. Dengan kerangka aluminium, peranti diharap lebih tahan lasak berbanding model tahun lalu.

Ia walaubagaimanapun masih tidak mempunyai sebarang kemampuan kalis air. Sedikit mengecewakan kerana Mi 6 keluaran Xiaomi mempunyai ketahanan tahan percikan Bateri yang digunakan adalah sebesar 3400 mAh dengan pengecasan pantas QuickCharge 3.0 melalui port USB-C.

Tahun ini pembesar suara sebenar digunakan pada bahagian hadapan bagi menggantikan sistem pembesar suara piezoelektrik yang digunakan tahun lalu. Pembesar kecil ini terletak di bahagian atas dan disembunyikan di dalam alur yang kecil. Pengesan ultrasonik pula digunakan bagi mengesan telinga pengguna ketika peranti digunakan. Malang sekali seperti Mi 6 bicu audio 3.5 mm tidak lagi disertakan.

Ia adalah sebuah peranti global yang menyokong 6 mod  dan sebanyak 43 jalur telekomunikasi. Kemampuan WiFi lebih pantas kerana penggunaan antena 2×2 MIMO. Harga jualan Xiaomi Mi MIX 2 bermula dari RMB 3299 (~RM 2129) untuk model dengan storan sebesar 64GB dan ia ditawarkan dalam warna putih dan hitam. Xiaomi Mi MIX 2 edisi khas pula dijual pada harga RMB 4699 (~RM 3029) dengan memori sebesar 8GB dan storan 128GB. Perbezaan edisi khas ialah tubuh unibody yang diperbuat sepenuhnya dari bahan seramik.

Komen