Cari @ Amanz

Xiaomi Mi MIX 2
Skrin 5.99” IPS LCD
2160×1080, 18:9, 403 ppi
Chipset Qualcomm Snapdragon 835
CPU 4 x 2.45 GHz Kyro
4 x 1.9 GHz Kyro
GPU Adreno 540
Memori 6GB/8GB RAM
Storan 64GB/128GB/256GB
Kamera Utama 12MP IMX386, f/2.0, 4K@30fps
Kamera Hadapan 5MP, 1080p@30fps
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 5.0, NFC
A-GPS, GLONASS, BDS
LTE band 1/3/5/7/8/19/20/28/38/40/41
Jenis Slot SIM Nano-SIM + Nano-SIM
Sistem Android 7.1 Nougat
Bateri 3400 mAh
Berat & Ketebalan 185g, 7.7mm
Jangkaan Harga Bermula ~RM2,129 (RMB 3299)

Xiaomi pada tahun lalu pernah hadir dengan Mi MIX, iaitu percubaan pertama Xiaomi untuk peranti dengan skrin bezel nipis. Ia juga dikenali sebagai peranti konsep ketika acara pelancarannya, namun turut dijual untuk pasaran pengguna. Kehadiran skrin bezel nipis ini pernah digunakan pada peranti Sharp Aquos Crystal ketika tahun 2014, namun Mi MIX telah membuka mata dunia dengan keunikan dari binaannya yang cukup menawan, bersama pengenalan nisbah yang sedikit berbeza iaitu 17:9. Peranti ini dibangunkan bersama pereka terkemuka, Philippe Starck yang mana turut menyumbang tenaga untuk pembangunan Mi MIX 2.

Namun sebagai peranti generasi pertama, Xiaomi Mi MIX sedia mempunyai kelemahan tersendiri seperti rekaan sisi yang terlalu besar, sekaligus membuatkan peranti ini tidak selesa untuk dipegang pada sebelah tangan. Sistem penggantian earpiece berasaskan getaran piezoelektrik ini juga agak mengganggu privacy pengguna, dengan membuatkan orang yang berdekatan boleh mendengar perbualan dari peranti ini. Ia juga tidak didatangkan dengan kualiti penggambaran yang baik, membuatkan ia menerima markah yang rendah apabila menilai dari aspek fotografi.

Tidak sampai satu tahun pengenalan Xiaomi Mi MIX, Xiaomi kini hadir dengan penggantinya menerusi Xiaomi Mi MIX 2 yang dilihat telah membaiki beberapa kelemahan yang hadir pada Mi MIX sebelum ini. Binaan sisinya kini lebih kecil, pengembalian saluran earpiece tradisional, selain menawarkan keupayaan kamera dengan sensor Sony IMX386 yang lebih baik. Ia juga telah didatangkan dengan cip pemprosesan terpantas pada peranti mudah-alih pada saat ini, dalam memberikan pengalaman penggunaan yang terbaik yang anda boleh dapati pada peranti Xiaomi.

Rekaan

Xiaomi Mi MIX 2 membawakan rekaan yang ditambah baik berbanding Mi MIX, dengan menawarkan rekabentuk peranti yang lebih memanjang. Rekaan hadapannya boleh dikatakan seperti Galaxy S8, tetapi tidak mempunyai sebarang bezel pada bahagian atas. Tidak seperti Mi MIX, ia kini menggunakan saluran earpiece tradisional yang disorokkan, bagi meningkatkan kualiti pendengaran selain mengurangkan bunyi perbualan keluar daripada peranti. Kedudukan sensor pula ditempatkan pada lokasi unik, iaitu pada bahagian bawah skrin dengan sistem sensor ultrasonik. Ia juga hadir dengan binaan bezel bawah yang kini lebih nipis, dengan menempatkan kamera hadapan di bahagian bawah peranti ini. Untuk kawalan, ia tidak didatangkan dengan sebarang butang kapasitif, dengan hanya menawarkan butang berasaskan on-screen untuk navigasi.

Bagi saya, rekaan seperti ini lebih menarik untuk dilihat berbanding Galaxy S8, Essential PH-1, mahupun iPhone X atas ketidakhadiran bezel, saluran earpiece yang tebal, dan kamera hadapan pada bahagian atas. Rekaan tanpa bezel atas ini membuatkan paparan peranti ini terasa seperti terapung, sekaligus memberi elemen futuristik apabila melihat peranti ini di hadapan mata anda. Untuk perletakkan kamera hadapan di bahagian bawah, ia tidak menjadi isu yang besar, kerana pengguna hanya perlu menerbalikkan peranti ketika ingin mengambil selfie.

Untuk rekaan di bahagian belakang, Xiaomi Mi MIX 2 masih mengekalkan binaan berasaskan logam dan seramik seperti yang hadir pada Mi MIX sebelum ini. Kedudukan kameranya juga masih berada pada lokasi yang sama, namun binaannya sedikit tersembul keluar. Namun begitu, binaan di bahagian belakang ini masih mudah untuk memerangkap cap jari, tetapi boleh diatasi dengan penggunaan case yang diberi.

Untuk binaan sisi, Xiaomi Mi MIX 2 dilihat lebih nipis, dengan membawa ketebalan yang sedikit nipis iaitu 7.7 mm berbanding 7.9 mm pada Mi MIX. Di bahagian sisi peranti, anda boleh dapati butang perlarasan suara dan butang kuasa di bahagian kanan, sementara slot SIM ditempatkan pada bahagian kiri. Untuk sambungan, ia tidak lagi menyediakan sambungan jack 3.5mm dan IR blaster, tetapi masih mengekalkan sambungan USB-C di bahagian bawah. Ia juga dilengkapi dengan Bluetooth 5.0, Wi-Fi 2×2 MIMO, 43 band LTE, dan sokongan NFC untuk sistem penyambungan tanpa wayar yang menyeluruh dan terkini.

Xiaomi Mi MIX 2 didatangkan dengan skrin Gorilla Glass 5 bersaiz 5.99-inci dengan nisbah paparan seumpama peranti LG G6 iaitu pada kadar 18:9. Ia masih dijana dengan panel berasaskan IPS LCD, yang mana agak sedikit mengecewakan kerana tidak menggunakan paparan AMOLED seperti Mi Note 2. Walau bagaimanapun, melihat paparan ini masih dilihat sangat tajam, melalui resolusi paparan 2160×1080 yang memberikan ketumpatan skrin 403 ppi.

Xiaomi Mi MIX 2 ditawarkan dengan dua versi berbeza, yang terdiri daripada versi standard dengan penawaran 6GB RAM + 64GB/128GB/256GB, dan versi Special Edition dengan 8GB RAM + 128GB. Seperti Mi MIX, ia tidak didatangkan dengan slot microSD, jadi pengguna perlu mendapatkan versi storan yang lebih tinggi sewaktu pembelian peranti. Namun ia masih menawarkan sokongan dwi-sim, dengan menawarkan saiz sim berasaskan Nano-SIM untuk kedua-dua bahagian slot sim.

Sistem

Xiaomi Mi MIX 2 dijana dengan MIUI 9, iaitu antaramuka terkini Xiaomi dengan sejumlah penambahbaikan di belakang tabir. Ia kini menawarkan pembukaan aplikasi yang lebih pantas, disamping memberikan pengurusan memori yang lebih cekap untuk penjimatan bateri. Ia juga kini didatangkan rekaan ikon baru, disamping hadir dengan fungsi split-screen yang mana sedia digunakan pada Android versi terkini.

Untuk fungsi, MIUI 9 menawarkan sejumlah kustomasi yang melibatkan penukaran ikon, kedudukan grid, dan transitions pada Mi Launcher. Launcher ini masih meletakkan kesemua aplikasi pada homescreen, selain memudahkan anda memindah sejumlah aplikasi secara serentak ke homescreen page yang baru. Ia juga mampu menyusun kesemua ikon aplikasi dengan lebih teratur, melalui fungsi auto-fill yang boleh diaktifkan pada bahagian settings pada launcher ini.

MIUI 9 yang dijana pada peranti Xiaomi Mi MIX 2 ini masih dijalankan di atas Android 7.1.1 Nougat, namun kemaskini berasaskan Android 8.0 Oreo turut akan diberikan pada iterasi MIUI pada masa akan datang. Walaupun tidak dijana dengan Android yang lebih terkini, Android 7.1.1 Nougat sedia menawarkan sejumlah fungsi yang menarik seperti Doze On-the-Go, Data Saver, dan sokongan penukaran saiz teks dan paparan. Ia juga menyokong sejumlah emoji terkini berasaskan Unicode 9, disamping memberikan sokongan boot yang lebih pantas berbanding Android terdahulu.

Kamera

Dari segi keupayaan kamera, Xiaomi Mi MIX 2 masih menawarkan sistem satu kamera seperti generasi sebelumnya, melalui penggunaan sensor utama 12MP Sony IMX386 dengan bukaan aperture f/2.0. Ia tidak didatangkan dengan sokongan autofokus berasaskan laser, namun masih memberikan keupayaan Optical Image Stabilization (OIS) 4-paksi bersama Phase Detection Auto Focus (PDAF) untuk sistem penfokusan yang lebih stabil dan pantas. Ia juga menyediakan dual-tone LED flash yang mampu memberikan pencahayaan yang neutral untuk penggambaran malam.

Untuk keupayaan kamera hadapan, Xiaomi Mi MIX 2 masih menawarkan sensor 5MP yang mana turut digunakan pada peranti Mi MIX. Bagi membolehkan anda mengambil selfie pada waktu gelap, ia juga dilengkapi dengan sokongan Screen Flash, melalui bantuan pencahayaan daripada skrin. Selain itu, ia juga menyokong rakaman 1080p untuk kamera hadapan ini, dalam memudahkan anda membuat rakaman seperti vlog, video peribadi atau penstriman secara langsung ke media sosial.

Prestasi

Xiaomi Mi MIX 2 dijana dengan cip pemprosesan yang terpantas setakat ini, menerusi cip Qualcomm Snapdragon 835 yang dibina berasaskan rekaan 10nm. Ia terdiri daripada dua kluster penggunaan, iaitu kluster 4 x Kyro 2.45 GHz untuk kegunaan berkuasa, dan kluster 4 x Kyro 1.9 GHz untuk penggunaan kasual. Ia juga menawarkan GPU Adreno 540, yang mampu memberikan keupayaan grafik berdefinisi tinggi bersama sokongan Vulkan API untuk pengalaman permainan yang lebih realistik.

Dengan penggunaan memori 6GB RAM, percubaan awal ketika menggunakan Mi MIX 2 ini dilihat mampu menahan sejumlah aplikasi daripada direload semula, terutma aketika menuju dari satu aplikasi ke satu aplikasi yang lain. Ia juga dijana dengan storan berasaskan UFS 2.1, yang memberikan kelajuan bacaan storan yang hampir sama seperti storan SSD berasaskan SATA di PC.

Bateri

Xiaomi Mi MIX 2 didatangkan dengan penawaran bateri yang lebih keicil berbanding Mi MIX, melalui kapasiti bateri 3400 mAh. Kapasiti ini boleh dikatakan menyamai dengan peranti yang mempunyai rekaan bezeless pada saat ini, seperti Galaxy Note 8 dan LG V30 yang mana kedua-duanya membawa kapasiti 3300 mAh. Dengan penggunaan cip yang efisien berasaskan 10nm, Xiaomi Mi MIX 2 dijangka mampu memberikan penggunaan sepanjang hari dengan bacaan SoT sekitar 5-7 jam mengikut jenis penggunaan pengguna.

Untuk masa pengecasan, Xiaomi Mi MIX 2 turut menyokong fungsi pengecasan pantas Qualcomm Quick Charge 3.0, seperti yang ditawarkan pada Mi MIX. Dengan teknologi pengecasan ini, ia membolehkan peranti dicas dari 0-100% dalam masa sekitar 1 jam 40 minit. Masa pengecasan ini boleh dikatakan amat pantas, yang mana peranti yang tidak menyokong fungsi pengecasan pantas boleh memakan masa sekitar 3 jam untuk mengecas peranti sehingga penuh.

Rumusan

Secara kasarnya, Xiaomi Mi MIX 2 telah mempamerkan sebuah peranti bezeless yang cukup unggul, tanpa terikat dengan kedudukan bezel di bahagian atas seperti yang hadir pada peranti sekelasnya. Ia tidak menawarkan camera cut-out yang sedikit janggal seperti Essential PH-1 atau bezel hitam di bahagian atas seperti Galaxy S8, dengan memaparkan hanya skrin di bahagian atas untuk paparan peranti yang lebih imersif. Ia seolah-seolah melihat peranti dari masa hadapan, yang mana kini menjadi realiti untuk dinikmati pada hari ini.

Xiaomi Mi MIX 2 juga telah membaiki beberapa kelemahan yang hadir pada peranti Mi MIX sebelum ini, dengan menghadirkan rekaan sisi yang lebih kecil untuk memastikan keselesaan ketiga dipegang. Keupayaan audio ketika panggilan juga ditambah baik, yang mana kini lebih jelas dan tidak terjejas dengan perbualan yang boleh didengari oleh individu berhampiran. Dengan kehadiran cip yang efisien, ia juga dijangka untuk memberi masa penggunaan yang lebih lama berbanding peranti generasi sebelumnya.

Bagi saya, Xiaomi Mi MIX 2 adalah produk untuk memperlihatkan perkara yang mampu dicapai oleh Xiaomi pada saat ini. Dengan rekaan yang bezeless yang lebih menyeluruh, sistem perletakkan sensor yang unik, bersama kedudukan kamera hadapan di bahagian bawah, ia sebuah satu produk yang mempunyai inovasi yang cukup ulung untuk dinikmati bagi peminat peranti dengan rekaan seperti ini. Ia mungkin sebuah produk yang tidak direka untuk semua pengguna, tetapi ia telah berjaya mengharungi rintangan kejuruteraan yang mencabar, dalam membina sebuah produk yang inovatif dengan elemen binaan yang futuristik.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd