Cari @ Amanz

Xiaomi Mi Note boleh dikatakan antara siri alternatif bagi Samsung Galaxy Note, yang mana menawarkan rekaan skrin yang besar, disamping hadir dengan rekaan yang menawan. Dari Mi Note generasi awal, ia merupakan siri peranti Xiaomi yang menawarkan spesifikasi tinggi, dengan menawarkan cip berkelas flagship Snapdragon 8xx. Namun permintaan untuk siri Mi Note tidak lah sebaik keluarga peranti Xiaomi yang lain, yang mana mungkin berikutan daripada penawaran harga yang agak tinggi.

Pada acara pelancaran Xiaomi Mi MIX 2, Xiaomi telah mengubah strategi mereka ketika memasarkan Mi Note 3, dengan memfokuskan kepada ciri-ciri untuk penggunaan lifestyle. Sewaktu acara pelancaran, Xiaomi amat menekankan Mi Note 3 kepada aspek Portrait Mode dan selfie, selain menggunakan artis ternama untuk memasarkan peranti ini. Secara kasarnya, iterasi ketiga Mi Note ini tidak lagi sama dengan penawaran Mi Note yang terdahulu, yang mana kini memfokuskan kepada fungsi yang sering digunakan pengguna.

Video

Rekaan

Sebagai permulaan, Xiaomi Mi Note 3 didatangkan dengan spesifikasi kelas pertengahan, seperti kehadiran skrin 5.5-inci 1080p berasaskan panel IPS LCD, cip Snapdragon 660, memori 6GB RAM, pilihan storan dalaman 64GB/128GB, namun tidak dilengkapi dengan sebarang sokongan microSD. Ia juga turut menawarkan sokongan pengecasan pantas Quick Charge 3.0, NFC, IR blaster, bersama kapasiti bateri 3500 mAh.

Dari segi rekaan, Mi Note 3 banyak dipengaruhi daripada rekaan Mi 6, terutama rekabentuk yang hadir pada bahagian belakang peranti. Ia menempatkan sistem dwi-kamera yang membulat, tanpa sebarang kehadiran camera bump seperti yang dialami daripada peranti flagship sekelasnya. Pilihan warnanya juga boleh dikatakan sama, yang merangkumi warna hitam, putih, serta pilihan warna biru yang cukup ikonik untuk peranti Mi 6.

Bercakap lagi mengenai rekaan pada bahagian belakang peranti, lokasi dwi-kamera ditempatkan pada lokasi yang sama seperti Mi 6, bersama sentuhan rekaan yang sedikit melengkung untuk keselesaan mememang peranti. Ia juga dibina berasaskan kaca, yang mana masih tidak terkecuali dengan permukaan yang mesra dengan kesan cap jari. Namun seperti Mi 6, Mi Note 3 turut dibekalkan dengan silicon case, yang mana membantu dari masalah kosmetik ini disamping mengurangkan masalah peranti licin apabila dipegang.

Untuk rekaan di bahagian hadapan, rekaannya turut membawa penampakan peranti Xiaomi Mi 6, dengan rekaan skrin yang lebih besar. Sebagai perlindungan, panel kaca peranti ini dilindungi dengan kaca Gorilla Glass 5 bagi membantu untuk mengurangkan kesan calar dan retakan. Di bahagian bawah peranti, ia menempatkan butang navigasi berasaskan kapasitif, bersama butang home yang turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari.

Untuk port sambungannya pula, ia tidak membawakan sambungan earphone jack 3.5mm, yang mana bergantung pada penggunaan USB-C yang ditempatkan pada bahagian bawah peranti. Lokasi pembesar suaranya ditempatkan pada bahagian bawah dan saluran earpiece, bagi membolehkan bunyi disalurkan secara stereo. Mi Note 3 juga turut menyokong fungsi dwi-sim, yang terdiri daripada ruangan Nano-SIM (pada SIM 1) + Nano-SIM (pada SIM 2).

MIUI 9

Xiaomi Mi Note 3 telah dijana dengan MIUI 9 yang mana dibina berasaskan sistem operasi Android 7.1.1 Nougat. Iterasi antaramuka MIUI terbaru ini membawakan beberapa perubahan, seperti kehadiran ikon baru, pilihan kustomasi yang lebih fleksibel pada launcher, dan sokongan split-screen. Ia juga kini menawarkan pembukaan aplikasi yang lebih pantas, dengan pengoptimasian memori di belakang tabir secara intensif.

Dengan penggunaan Android 7.1.1 Nougat, ia turut menyediakan beberapa fungsi menarik seperti sokongan Doze On-the-Go, Data Saver, dan kemudahan untuk membuat penukaran saiz teks dan paparan. Bagi penggemar emoji, ia juga menyediakan sejumlah emoji baru berasaskan Unicode 9, selain menyokong teknologi Vulkan API untuk kegunaan grafik dan permainan intensif.

Kamera

Dari segi keupayaan kamera, Xiaomi Mi Note 3 menawarkan sistem dwi-kamera yang sama pada Mi 6, melalui penggunaan sensor utama 12MP (f/1.8, 27mm, OIS) dan sensor kedua 12MP (f/2.6, 56mm) untuk sokongan telephoto. Dengan kehadiran seperti Optical Image Stabilization (OIS) 4-paksi dan Phase Detection Auto Focus (PDAF), kamera peranti ini mampu mendapatkan penfokusan yang lebih pantas, disamping mengurangkan kesan gegaran sewaktu rakaman gambar dan video. Ia juga menawarkan sokongan dual-tone LED flash bagi membantu pengguna untuk penggambaran ketika waktu malam.

Sebagai peranti dengan sokongan dwi-kamera, peranti ini membolehkan pengguna mengambil gambar dengan kesan bokeh, seumpama yang diambil daripada kamera DSLR melalui fungsi Portrait Mode. Ia juga menyokong fungsi zoom optikal sebanyak 2x, yang membenarkan pengguna mendapatkan kualiti imej tinggi apabila membuat zoom sewaktu penggambaran. Selain sokongan zoom, Mi Mix 2 ini juga menyokong penggambaran hitam dan putih, dalam menampilkan mood penggabaran yang berbeza tanpa kesan warna.

Untuk keupayaan selfie, Mi Note 3 turut dilengkapi dengan kamera hadapan 16MP, yang mana kini dipertingkatkan dengan teknologi Adaptable AI Beautify. Ia membolehkan pengguna mendapatkan wajah yang dicantikkan secara automatik melalui teknologi Artificial Intelligence (AI), bagi penghasilan wajah yang lebih realistik.

Penutup

Xiaomi Mi Note 3 tidak lagi meneruskan apa yang ditawarkan oleh peranti generasi Mi Note terdahulu seperti mengutamakan spesifikasi berkelas tinggi bersama rekaan skrin 5.7-inci. Apa yang saya lihat, ia kini adalah sebuah siri peranti yang diberi hala tuju baru, dengan memfokuskan kepada keperluan pengguna umum, seperti kehadiran fungsi Portrait Mood, kamera selfie yang cantik, bersama penggunaan RAM yang besar untuk kelancaran prestasi. Ia juga menawarkan ciri-ciri menarik seperti kebolehan menyahkunci daripada imbasan wajah, sokongan pengecasan pantas, dan pembesar suara berasaskan stereo.

Untuk menjadikan siri Mi Note dengan lebih menarik, Xiaomi Mi Note 3 dilihat telah beralih ke arah pengguna umum, yang rata-rata mahukan sebuah peranti yang pantas, mempunyai kamera dan bateri yang baik, disamping menawarkan rekaan yang menawan. Dengan harga jangkaan sekitar ~RM1,612 (RMB 2499), ia dilihat bersaing dengan peranti yang memfokuskan kepada selfie dan lifestyle seperti Oppo R11, Vivo V7+, dan Huawei nova 2 Plus bagi menarik perhatian golongan muda yang mengutamakan imej trendy. Dengan strategi sebegini, Xiaomi Mi Note 3 akan cuba meningkatkan populariti siri Mi Note melalui sebuah penawaran peranti yang pantas, menawan, seimbang, dan praktikal untuk kegunaan pengguna masa kini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd