Apple Memperkenalkan iPhone 8 Dan iPhone 8 Plus

Apple Memperkenalkan iPhone 8 Dan iPhone 8 Plus

Diterbitkan pada Sep 13, 2017 oleh .

Apple hari ini telah mengadakan acara khusus pengenalan sejumlah produk baru, dan menjadi fokus utama adalah iPhone generasi baru. Dinamakan sebagai iPhone 8 dan iPhone 8 Plus – ia kini hadir dengan rekaan yang dikemaskini, dan menggunakan kaca pada bahagian hadapan serta belakang.

iPhone 8 hadir dengan skrin bersaiz 4.7-inci dan dilengkapkan dengan sokongan Retina HD, sementara iPhone 8 Plus pula hadir dengan skrin bersaiz 5.5-inci dengan paparan Retina HD. iPhone 8 juga hadir dengan sokongan satu kamera belakang, sementara iPhone 8 Plus pula menggunakan dwi-kamera di belakang.

iPhone 8

iPhone 8 menggunakan sensor 12-megapixel pada bahagian belakang dengan sokongan penstabilan imej optikal, sementara iPhone 8 Plus pula menggunakan gabungan 12-megapixel (f/1.8 dan f/2.8) dan turut hadir dengan sokongan penstabilan imej optikal. Bersama-sama dengan rekaan ISP, Apple turut menyertakan algoritma encoder tersendiri. Apple mengatakan iPhone 8 dan iPhone 8 Plus menawarkan kualiti rakaman video paling baik dipasaran menggunakan telefon pintar.

Kamera pada iPhone baru ini selain digunakan untuk rakaman gambar dan video, ia turut digunakan untuk tujuan Augmented Reality – yang membolehkan anda mengabungkan kandungan maya dengan kandungan sebenar.

Apple iPhone 8

Melengkapkan telefon pintar iPhone 8 generasi baru ini adalah cip pemprosesan Apple A11 Bionic yang menawarkan prestasi lebih 25% tinggi berbanding A10 sebelum ini, serta lebih 70% efisyen. Apple turut menggunakan cip GPU dan ISP yang direkabentuk oleh mereka sendiri pada telefon pintar ini untuk menawarkan pemprosesan yang lebih berkuasa melaluinya.

iPhone 8 dan iPhone 8 Plus ini turut hadir dengan sokongan tahan air dan debu, serta menawarkan tiga pilihan warna berbeza, iaitu silver, space gray dan juga emas. Dengan penggunaan rekaan kerangka kaca, kini iPhone 8 turut menyokong pengecasan tanpa wayar melaluinya – sekaligus memudahkan proses pengecasan iPhone anda.

iPhone 8

iPhone 8 dan iPhone 8 Plus akan mula ditawarkan bermula 22 September ini di beberapa buah negara, termasuk Singapura. Ia hadir dalam variasi storan 64GB dan 256GB, dan dijual di Amerika Syarikat pada harga bermula $699 (~RM2941). Harga dan tarikh jualan di Malaysia masih tidak diketahui lagi.

Sumber terdekat kami mengatakan U Mobile mempunyai beberapa pelan baru iPhone yang akan datang. Semak u.com.my untuk kemaskini.


TIPS & ULASAN