Pada pengenalan iPhone baru, iaitu iPhone 8 dan juga iPhone X, pihak Apple memfokuskan kepada ciri pengecasan tanpa wayar melaluinya. Apple menggunakan sokongan teknologi pengecasan tanpa wayar Qi pada peranti mereka. Terdapat sejumlah aksesori yang menyokong perkara berkenaan, dan pihak Apple sendiri tampaknya membangunkan pengecas tanpa wayar mereka yang dinamakan sebagai AirPower.
Melalui AirPower, ia membolehkan anda mengecas iPhone, Apple Watch dan juga AirPods secara serentak dengan hanya meletakkan peranti berkenaan di atasnya.
Dengan perkembangan arena peranti pintar, salah satu masalah yang sering dihadapi adalah kesukaran untuk mengecas peranti. Dengan penawaran AirPower ini, Apple dilihat ingin memudahkan sedikit proses berkenaan.
Walaubagaimanapun, penawaran AirPower ini hanya akan ditawarkan oleh Apple pada 2018 kelak. Harga jualannya masih tidak diketahui lagi buat masa ini.