Dengan kehadiran kad-kad grafik AMD terbaru, AMD RX Vega 56 dan Vega 64, NVIDIA nampaknya sedang bersiap untuk melancarkan kad grafik baru berdasarkan kad GeForce GTX 1070 mereka: NVIDIA GeForce GTX 1070 Ti.
Kad grafik tersebut dikatakan akan hadir dengan cip pemproses grafik GP104, dan akan mengandungi 2048 teras CUDA dan memori GDDR5 dengan kelajuan 9.0 ataupun 10.0 Gbps. Menurut laporan TechPowerUp lagi, kemaskini kad GTX 1070 Ti ini adalah bertujuan untuk bersaing dengan kad-kad grafik terbaru dari AMD, terutamanya kad grafik AMD RX Vega 56.
Walaupun kad grafik AMD tersebut dikatakan lebih berkuasa, kelebihan dari pihak NVIDIA ialah kad grafik GTX 1070 menggunakan jumlah kuasa yang jauh lebih rendah, dan dengan kemaskini ini, NVIDIA berharap prestasi kad GTX 1070 Ti tersebut sama ataupun lebih tinggi sedikit daripada RX Vega, tetapi pada jumlah kuasa yang lebih rendah.
Buat masa ini, kehadiran kad NVIDIA GeForce GTX 1070 Ti ini hanyalah sebuah ura-ura, tetapi iini bukanlah kali pertama syarikat tersebut menggunakan memori yang lebih pantas untuk mengemaskini kad grafik mereka, kerana mereka telahpun melakukannya sebelum ini dengan kad-kad seperti GTX 1080 dengan memori GDDR5X 11Gbps dan juga GTX 1060 dengan memori GDDR5 9Gbps.
Jika benar, kad grafik terbaru ini juga dikatakan akan hadir di pasaran dunia pada musim cuti hujung tahun kelak.