HP Hadir Dengan Komputer Kerja Berkuasa HP Z8 G4 Workstation – Hadir Dengan Memori 3TB Dan Storan 48TB
HP

HP Hadir Dengan Komputer Kerja Berkuasa HP Z8 G4 Workstation – Hadir Dengan Memori 3TB Dan Storan 48TB

Diterbitkan pada Sep 15, 2017 oleh .

Komputer bersaiz besar dengan spesifikasi overkill nampaknya semakin popular kebelakangan ini, dengan pelbagai pembuat komputer seperti Acer, ASUS dan sebagainya dengan pengkhususan kepada permainan komputer dan realiti maya.

Bagi HP, komputer-komputer dengan spesifikasi sebegini boleh digunakan untuk tujuan yang lebih berguna daripada bermain permainan komputer sahaja, dan dengan komputer HP Z8 G4 Workstation, syarikat tersebut juga mengumumkan sebuah komputer yang dibina khusus untuk tujuan-tujuan seperti membina model 3D, pengekodan video 8K dan lebih lagi.

Spesifikasi workstation ini juga tidak seperti komputer-komputer lain yang pernah kami lihat. Ia hadir dengan sokongan untuk dua cip pemprosesan Intel Xeon dengan 56 teras pemprosesan, memori DDR4 sehingga 3TB melalui 24 slot DIMM DDR4 dan juga 9 slot PCIe untuk kad-kad grafik NVIDIA Quadro dan AMD Radeon Pro, sehinggalah model NVIDIA Quadro P6000 dan AMD Radeon Pro WX 7100.

Menguasakan komputer Z8 G4 Workstation ini ialah pilihan bongkah sumber kuasa sehingga 1700W, dan jika anda mempunyai model dengan spesifikasi yang tertinggi, HP menyatakan anda boleh menggerakkan simulasi 3D dan mengedit video 8K pada masa yang sama tanpa sebarang masalah.

Komputer HP Z8 G4 Workstation ini dikatakan akan hadir pasaran pada bulan Oktober kelak bermula pada harga $2439.


TIPS & ULASAN