Cari @ Amanz

Pada acara Jomlaunch 5.0 hari ini, selain dari projek-projek berasaskan web yang dikongsikan, terdapat juga peserta yang mempamerkan projek robotik. Pihak Abi Agro telah membawa robot mereka yang dinamakan Farmo.

Farmo V2 yang dipamerkan pada acara ini adalah robot yang berupaya menyembur racun di ladang-ladang bagi memudahkan peladang melakukan proses tersebut. Menggunakan robot ini, semburan yang dilakukan adalah 50% lebih cepat berbanding menggunakan tenaga kerja manusia, malahan penggunaan racun juga dapat dikurangkan sehingga 30% berbanding proses tradisional.

Pihak Abi Agro turut menyatakan buat masa ini, robot Farmo V2 ini dapat dikawal menggunakan alat kawalan dalam kawasan lingkungan 100m. Dengan sekali pengecasan penuh, robot ini dapat beroperasi selama dua jam dan sebagai perbandingan, dapat menyembur racun ke 900 pokok.

Untuk perancangan akan datang, mereka akan membangunkan aksesori untuk robot ini bagi melakukan operasi lain seperti memotong rumput, membawa barangan menerusi troli, dan juga komponen swapandu bagi membolehkan robot ini beroperasi dengan sendiri.

Robot ini masih dalam pembangunan dan apabila ia dipasarkan, ia bakal dijual pada harga RM 3,999.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd