Cari @ Amanz

Antara kerisauan penggunaan sistem imbasan wajah Face ID pada iPhone X ialah ia memudahkan peranti dinyahkunci tanpa kerelaan pemilik. Badan hak asasi manusia risau polis boleh menyahkunci telefon orang kena tahan tanpa waran dengan amat mudah sekaligus melanggar hak mereka. Pada suami curang pula risau kandungan kekasih gelap dinyahkunci ketika tidur.

Setakat ini kita sudah mengetahui Face ID tidak berfungsi sekiranya mata tertutup. Tiada kerisauan anak membeli aplikasi App Store ketika ibu bapa sedang tidur. Di dalam situasi kecemasan Craig Federighi, timbalan presiden bahagian perisian di Apple mengesahkan Face ID boleh dinyaktifkan di dalam temubual bersama TechCrunch.

Beliau berkata Face ID boleh dinyahaktifkan dengan menekan butang kuasa atau butang mengurangkan suara selama beberapa saat. Peranti kini hanya boleh dinyahkunci dengan menggunakan kod nombor. Beliau turut berkata peranti akan meminta kod masuk apabila Face ID tidak digunakan dalam masa 48 jam atau dihidupkan semula selepas dimatikan. Kegagalan mengimbas wajah selama 5 kali turut akan menyahaktifkan Face ID, Ini adalah sebab mengapa Face ID dikatakan gagal berfungsi ketika demo atas pentas tempohari.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd