Cari @ Amanz

Sony Xperia XA1 Plus dilancarkan di Malaysia minggu ini dan hanya akan mula dijual pada bulan Oktober hadapan. Peranti ini mempunyai rekaan yang sama dengan XZ1 tetapi tidak dilengkapi pemproses Snapdrgon 835. Apakah perbezaan lain peranti ini dengan saudaranya yang lebih berkuasa. Ini ialah pandangan pertama kami dengan Sony Xperia XA1 Plus.

Spesifikasi

Sony Xperia XA1 Plus
Skrin 5.5″ IPS LCD FHD
Pemproses MediaTek Helio P20
CPU 4 x 2.3 GHz Cortex A53
4 x 1.6 GHz Cortex A53
Cip Grafik Mali-T880 MP2
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 32 Gigabyte eMMC (MikroSD sehingga 256 GB)
Kamera Utama 23 Megapixel f/2.0, SteadyShot, , PDAF
Kamera Depan 8 Megapixel f/2.0, SteadyShot
Bateri 3430mAh (Qnovo + PumpExpress Plus 2.0)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano
Jalur LTE Cat 6
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air Tiada
Harga Jualan RM 1499

Skrin 5.5″ IPS LCD FHD digunakan. Tetapi tidak pada peranti lebih premium tiada sokongan teknologi Triluminous dan Xreality Engine Sony. Skrin masih lagi memaparkan imej yang tajam walaupun keterangan skrin tidak menandingi apa yang dilihat pada XZ1 dan XZ Premium

Pemproses MediaTek Helio P20 lapan teras dipadankan dengan memori sebesar 4GB dan storan hanya sebesar 32GB eMMC. Ini saiz yang boleh dianggap kecil untuk peranti tahun 2017 tetapi jangan risau kerana terdapat sokongan untuk kad MikroSD sehingga 256GB. Berita baik di sini ialah slot kad MikroSD tidak berkongsi dengan dua talam SIM bersaiz nano. Ini ialah misteri bagi kami mengapa pada peranti bukan premium pengeluar dengan mudah boleh menyokong dua SIM dan sekeping MikroSD dengan mudah. Pada peranti premium mereka bertegas menggunakan talam hibrid.

Kamera utama 23-Megapixel f/2.0 digunakan dengan sokongan PDAF dan penstabilan SteadyShot. Walaupun mempunyai saiz sensor yang besar serta menggunakan Helio P20, kamera utama ini hanya merakam pada resolusi maksimum 1080P 30FPS. Ini adalah agak mengecewakan kerana Helio P20 menyokong mod merakam pada tetapan 4K. Kamera selfie pula sebesar 8-Megapixel f/2.0 dan turut mempunyai sistem penstabilan elektronik SteadyShot.

Membekalkan kuasa pada peranti ialah bateri 3430 mAh yang adalah besar bagi sebuah peranti Sony. Pada XZ1 yang mempunyai spesifikasi yang lebih tinggi hanya bateri sebesar 2700 mAh disertakan. Terdapat sokongan pengecasan pantas Qnovo yang berasaskan sistem PumpExpress Plus 2.0 Mediatek. Jadi pengguna tidak perlu risau sekiranya peranti kehabisan bateri. Secara keseluruhan spesifikasi adalah baik bagi sebuah peranti kelas pertengahan.

Rekabentuk

Dengan Xperia XA1 Plus, rekaan Closed Loop digunakan. Panel belakang adalah dari kepingan logam yang sama dengan panel sisi. Bahagian sisi adalah lebih bulat jika dibandingkan dengan rekaan Sony Xperia sebelum ini. Bahagian atas dan bawah juga dibulatkan. Ia tidak lagi rata dan membuatkan peranti kelihatan lebih kemas.

Kemasan panel belakang adalah pusam. Tiada masalah ia dikotorkan dengan mudah seperti pada peranti dengan panel kaca. Ini turut membuatkannya tidak terlalu licin untuk dipegang dengan sebelah tangan.

Pada sisi kanan terdapat butang suara jenis rocker, butang kuasa dengan pengimbas cap jari dan butang khas pengatup kamera. Rekaan kesemua butang adalah ergonomik. Amat mudah diakses dan kesemuanya kukuh di tempatnya. Kami sedari terdapat banyak peranti di pasaran sekarang dengan butang yang longgar. Ini sedikit sebanyak membuatkan peranti tidak terasa premium. Sony memang terkenal dengan peranti yang direka dengan baik dan XA1 Plus meneruskan tradisi ini.

Rekaan mungkin menyamai peranti Sony kelas utama, tetapi tidak seperti XZ Premium dan XZ1, XA1 Plus tidak mempunyai kemampuan kalis air.

Pada sisi kiri terdapat talam dwi SIM bersaiz nano dan kad MikroSD. Bergerak ke atas terdapat satu bicu audio 3.5mm. Pada bahagian bawah terdapat port pengecasan USB-C serta satu pembesar suara mono.

Ya pembaca sekalian, XA1 Plus tidak dilengkapi sistem pembesar suara stereo yang menghala ke hadapan. Kami sedikit tertipu dengan rekaan panel hadapan dengan dua kekisi pada bahagian atas dan bawah. Ini hanya mikrofon dan pembesar suara untuk panggilan telefon. Kami katakan tertipu kerana ini ialah rekaan yang ditemui pada Xperia Z5 yang kami ulas tahun lalu. Pada Xperia Z5 pembesar suara stereo disertakan tanpa masalah.

Ini ialah peranti yang selesa dipegang walaupun bersaiz agak besar. Ia sedikit tebal (8.7 mm) tetapi pada hemat kami ini menjadikannya lebih selesa berbanding peranti yang nipis.

Antaramuka

Xperia XA1 Plus masih menggunakan Android Nougat 7.0 walaupun dilancarkan selepas Oreo sudahpun digunakan pada Xperia XZ1. Tiada sokongan Appl Shortcut tetapi antaramukanya hampir menyamai XZ1. Butang navigasi atas skrin home dihimpit butang multi tasking pada sebelah kanan dan back pada sebelah kiri. Tiada fungsi membenarkan susunan butang ini diubah.

Seperti biasa Sony tidak menyertakan banyak fungsi tambahan. Malahan antaramuka yang digunakan menghampiri pelancar Google Now sebelum ini. Terdapat butang khas untuk membuka talam aplikasi dan multi window disokong secara natif. Aplikasi terpasang juga tidak terlalu banyak dengan aplikasi Album, Video dan Muzik digunakan dan bukannya Google Photos dan Google Music.

Multi Window – Menggunakan sistem multi-window natif Android Oreo bagi melancarkan dua aplikasi serentak.

Quick Search – Carian pantas fail dan aplikasi dari dalam peranti. Tatal skrin dari atas ke bawah dan skrin carian akan muncul. Lapan aplikasi paling kerap digunakan turut akan dipaparkan secara automatik.

Sketch – Aplikasi lakaran dengan pelbagai pilih berus dan pena bagi menghasilkan karya seni dengan pantas.

Theme – Mengubah tema antaramuka. Terdapat puluhan tema dari filem keluaran Sony boleh dimuat turun. Sungguhpun begitu kebanyakan tema yang disediakan harus dibeli.



Kesimpulan

Sony Xperia XA1 Plus ialah perati kelas pertengahan dengan kemasan premium Sony tahun ini. Dari segi rekaan ia mengekalkan elemen rekaan yang menjadi tanda dagang mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sisi yang dibulatkan membuatkannya amat selesa dipegang walaupun lebih tebal berbanding peranti lain di pasaran.

Kesemua butang kawasan yang disertakan terasa kukuh dan sedap dipegang. Sambungan USB-C disertakan dan menunjukkan komitmen Sony kepada penggunaan kabel yang seharusnya menjadi standard peranti 2017 dan bukan lagi MikroUSB. Bicu audio masih dikekalkan walaupun ada yang mengatakan ia tidak lagi sesuai digunakan sekarang. Bagi mereka yang mempunyai fon kepala bluetooth pula, sokongan NFC memudahkan tambahan aksesori dengan hanya sekali sentuhan.

Kemasan tubuh yang pusam memastikan ia tidak mudah kotor seperti peranti dengan tubuh kaca. Ia juga tidak licin dan mengurangkan kebarangkalian ia terlepas dari genggaman. Walaupun terjatuh kami yakin peranti ini cukup tahan lasak kerana kerangka logam sepenuhnya serta bezel tebal mempertahankan skrin dari menyerap hentakan secara terus.

Kekurangan terletak pada penggunaan Android Nougat yang sudah berusia melebihi setahun. Mengapa ia masih digunakan sedangkan Xperia XZ1 telahpun menggunakan Nougat. Tiada sokongan audio stereo walaupun rekaan kekisi hadapan menyamai Xperia Z5 yang menyokongnya. Hanya satu pembesar suara disertakan bersebelahan port USB-C.

Dengan harga jualan RM 1499 ia mungkin sedikit mahal bagi peranti kelas pertengahan yang menggunakan pemproses MediaTek. Tetapi kami merasakan ini berlaku kerana kemasan yang lebih premium serta saiz kamera utama yang agak besar. Sony Xperia XA1 Plus akan memasuki pasaran Malaysia pada bulan Oktober hadapan. Kami akan cuba memberikan ulasan penuh sebaik sahaja ia mula dijual kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd