Cari @ Amanz

Sebelum ini kami ada memaparkan topi keledar pintar Skully yang menggunakan sistem operasi Android. Malang sekali projek ini dihentikan selepas syarikat yang membangunkannya diisytiharkan muflis tahun lalu. Bagi penunggang motosikal kini muncul sebuah lagi topi keledar pintar yang mempunyai fungsi seakan Skully. Crosshelmet ialah topi keledar pintar yang mempunyai kamera belakang, paparan HUD dan audio terbina.

Rekaan Crosshelmet berbeza dari topi keledar biasa. Bahagian visor hadapan lebih besar bagi memberikan pemandangan 30% lebih besar sekaligus mengurangkan keperluan penunggang menoleh untuk mengelakkan titik buta. Terdapat dua skrin di hadapan mata penunggang yang menunjukkan pemandangan belakang dan maklumat seperti navigasi serta kelajuan motor.

Apabila ditambat kepada peranti pintar Android dan iOS, penunggang boleh menggunakan aplikasi muzik kegemaran, melakukan panggilan telefon dan sistem seakan radio dua hala dengan pengguna Crosshelmet yang lain.

Sistem penghapus bunyi bising terbina boleh meredam bunyi bising deruan udara dan enjin motosikal tetapi pada waktu yang sama tidak menyebabkan penunggang tidak mendengar bunyi persekitaran seperti hon kenderaan lain. Crosshelmet sedang mengumpul dana menerusi Kickstarter dan boleh ditempah pada harga bermula $1399 (RM 5859) sebuah. Rekaan Crosshelmet ini menarik bagi kami kerana menyerupai  rekaan topi keledar anime Mospeada.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd