Carian
Celcom Home Fibre Kini Dilancarkan Di Sabah – Menawarkan Pakej Jalur-Lebar Sedikit Murah Berbanding TM Unifi
September 18, 2017 Aman

Celcom hari ini telah melancarkan dua perkhidmatan internet berkelajuan tinggi di Sabah, iaitu Celcom Home Fibre dan juga Celcom Business Fibre. Melalui penawaran Celcom ini, kini pengguna di Sabah boleh melanggan pakej jalur lebar berkelajuan tinggi bermula 10Mbps hingga 40Mbps untuk pengguna rumah, atau sehingga 100Mbps untuk pengguna perusahaan.

Menariknya adalah dimana sekiranya dilihat daripada pakej yang ditawarkan secara kasar, ia berharga sedikit murah berbanding dengan pakej UniFi. Namun, seperti biasa, tiada penawaran kandungan video percuma seperti HyppTV untuk pelanggan Celcom Fibre ini.

Pakej Celcom Home Fibre di Sabah ditawarkan pada harga bermula RM120 untuk 10Mbps. Celcom tidak mengehadkan kuota untuk penggunaannya, selain melengkapkan ia dengan modem percuma. Setiap panggilan pula dicaj dengan 10 sen untuk setiap minit.

Celcom Home Fiber

Dua lagi pakej dibawah Celcom Home Fibre adalah pakej 20Mbps pada harga RM150 dan 40Mbps pada harga RM180. Bagi pelanggan Celcom First Gold Plus dan ke atas, anda berpeluang mendapatkan rebat sebanyak RM15 sekiranya melanggan pakej Home Fibre 20Mbps dan 40Mbps ini.

Untuk pengguna perusahaan pula, Celcom Business Fibre hadir dengan pakej bermula RM158 untuk 10Mbps sehinggalah kepada RM378 untuk 100Mbps.

Celcom Fiber

Di Sabah, Celcom Fibre kini meliputi beberapa bandar seperti Kota Kinabalu, Tawau, Keningau dan sebagainya. Celcom menyasarkan untuk memperluaskan ia ke semua 11 bandar di Sabah menjelang penghujung 2017 ini. Untuk makluman, Celcom turut menggunakan kepakaran Celcom Timur Sdn Bhd dalam menerajui operasi optimumkan gentian fiber, termasuk membangun dan menyediakan infrastruktur fiber di Sabah.

Komen