Cari @ Amanz

Lanjutan daripada berita mengenai masalah sekuriti dan kerentanan yang ditemui pada router D-Link, kini pihak D-Link Malaysia telah mengeluarkan kenyataan, dan mengatakan mereka akan mula menawarkan kemaskini firmware untuk router D-Link DIR-850L.

Menurut D-Link melalui halaman yang dikemaskini, mereka mengatakan pengguna Telekom Malaysia akan menerima kemaskini firmware bermula 22 September 2017 ini. Ia seterusnya akan diikuti oleh pengguna TIME bermula 24 September kelak. Pada awalnya, D-Link mengatakan kemaskini perisian akan ditawarkan pada 21 September, dan kini ia dilihat mengalami sedikit kelewatan berbanding perancangan awal.

Untuk makluman, router model ini digunakan secara meluas oleh pengguna tempatan – termasuk oleh pelanggan Unifi dan TIME kerana ia merupakan router asas yang ditawarkan bersama pakej langganan.

Sebelum ini, pengkaji sekuriti telah menemui kerentanan yang membolehkan pengodam untuk memuat-naik pepijat serta menyerang pelbagai peranti yang bersambung ke router berkenaan.

Buat masa ini, D-Link menasihatkan pengguna untuk mematikan ciri WAN Remote Admin, serta mengubah kata laluan SSID untuk mengelak pengguna yang tidak dibenarkan untuk mengaksesnya. Pada masa yang sama, D-Link menasihatkan pengguna untuk mengubah kata laluan pentadbir untuk router berkenaan.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd