Harga dron semakin murah walaupun ia kini hadir dengan fungsi swaterbang dan kemampuan merakam video yang baik. Terdapat dron untuk kegunaan fotografi, peperangan dan pertanian. Dron Aire yang baru dilancarkan mempunyai kemampuan menjadi peronda rumah dengan sokongan kawalan suara Alexa. Aire yang dihasilkan oleh Aevena seberat 1.3 Kilogram dengan ketinggian 3ocm. Ia mempunyai kemampuan swaterbang bagi meronda kawasan dalam rumah. Kamera 4K dengan sokongan infra merah yang disertakan membolehkan pengguna melihat rumah mereka melalui telefon pintar apabila berada di luar rumah. Sisi Aire diperbuat daripada bahan lembut bagi mengelakkan kecederaan sekiranya berlanggar dengan manusia.
Menurut Aevena, Aire mampu melakukan rondaan selama 8 minit sebelum bateri sebesar 2000 mAh yang digunakan perlu dicas semula. Fungsi kawalan suara Alexa pula membolehkan pemilik mengarahkan Aire untuk melakukan rondaan atau mengambil gambar mereka. Bagi yang berminat dron ini sedang mengumpul dana menerusi Kickstarter dan boleh ditempah pada harga bermula $699 (~RM 2931) sebuah.