Cari @ Amanz

Samsung Galaxy Note 8 dan Samsung Galaxy S8+ ialah dua peranti utama yang mempunyai saiz skrin yang besar melangkaui 6″ di pasaran sekarang. Kami sedari ramai pembaca Amanz yang tertanya-tanya peranti manakah yang lebih berbaloi untuk dimiliki? Artikel ini cuba memudahkan proses anda memilih peranti manakah yang lebih sesuai untuk anda berdasarkan beberapa enam kriteria utama.

Spesifikasi

Kedua-dua peranti ini dilengkapi pemproses yang sama iaitu Exynos 8895 lapan teras. Pemproses ini kini adalah yang paling berkuasa di carta penanda aras Makmal Amanz. Perbezaan terletak pada saiz RAM. Galaxy Note 8 dilengkapi 6GB RAM manakala Galaxy S8+ pula dilengkapi 4GB RAM. Lebih banyak aplikasi boleh dibuka sebelum aplikasi disegar semula pada Note 8. Kami juga menyedari apabila menggunakan Samsung DEX, ia berfungsi lebih lancar dengan Note 8. Di sini kelebihan memihak kepada Galaxy N0te 8.

Perisian

Galaxy Note 8 menggunakan Android 7.1.1 dengan pelancar Samsung Experience 8.5. Ia baru sahaja menerima kemaskini tiga hari yang lalu untuk melancarkan lagi operasi. Galaxy S8+ masih menggunakan Android 7.0 dengan pelancar Samsung Experience 8.1. Kedua-dua peranti telah menerima kemaskini keselamatan untuk bulan Ogos. Kemaskini ke Android Oreo juga disahkan akan diterima pada kedua-dua peranti.

Kami mendapati antaramuka Note 8 adalah lebih lancar terutamanya apabila bertukar-tukar aplikasi. Animasi lebih pantas tanpa sebarang sela masa. Pengguna S8+ telah lama menyedari animasi membuka talam aplikasi kurang lancar. Di sini sekali lagi kelebihan memihak kepada Galaxy Note 8.

Kamera

Di sini perbezaan paling ketara di antara dua peranti dalam dilihat. Galaxy Note 8 ialah peranti pertama Samsung dengan sistem dwi-kamera zoom optikal. Ia juga peranti pertama di pasaran dengan dwi-OIS pada kedua-dua lensa sudut lebar dan telephoto. Dari segi kualiti gambar menggunakan kamera sudut lebar, kami merasakan tiada perbezaan langsung di antara kedua-dua peranti. Lensa f/1.7 dan sensor 12-Megapixel yang sama digunakan.

Lensa telephoto membolehkan zoom optikal 2X dan fungsi baru Live Focus. Zoom optikal pada Note 8 memang amat baik sungguhpun hanya menggunakan lensa f/2.4. Dengan penstabilan optikal gambar tidak kabur sekiranya peranti tidak dipegang dengan stabil. Live Focus pula membawakan fungsi bokeh yang artistik. Ia masih belum sempurna (kadang kala enggan berfungsi) tetapi adalah jawapan Samsung kepada Portrait Mode iPhone 7 Plus.

Peranti manakah lebih berbaloi di sini? Ini jawapan yang subjektif. Jika anda tidak memerlukan zoom optikal, kamera pada kedua-dua peranti adalah yang sama taraf dan terbaik di dalam kelasnya. Tetapi jika anda seperti kami, zoom optikal memudahkan tugasan harian. Live Focus pula menghasilkan gambar yang artistik. Bergantung kepada pengguna, dua fungsi tambahan ini mungkin tidak diperlukan.

Bateri

Samsung Galaxy Note 8 dilengkapi bateri 3300 mAh manakala Galaxy S8+ dilengkapi bateri 3500 mAh. Agak pelik S8+ dilengkapi bateri lebih besar walaupun mempunyai skrin lebih kecil (6.2″ berbanding 6.3″ pada Note8). Tidak mengejutkan Galaxy S8+ mempunyai ketahanan lebih baik. Pada penggunaan sederhana peranti bertahan hampir 19 jam.

Sebagai perbandingan Note 8 hanya bertahan sekitar 12 jam. SOT terbaik S8+ pernah dicatatkan ialah hampir 9 jam berbanding hampir 7 jam pada Note 8. Bagi mereka yang mementingkan ketahanan bateri Galaxy S8+ ialah pilihan yang lebih bijak. Kedua-duanya dilengkapi sistem pengecasan pantas dengan tempoh pengecasan penuh sekitar 110 minit.

Audio

Tiada pembesar suara stereo disokong pada kedua-dua peranti. Hanya sebuah pembesar suara mono terletak pada bahagian bawah. Bicu audio masih diteruskan kerana Samsung masih belum mengumpul “keberanian” untuk membuang I/O ini seperti Apple, HTC dan LeEco. Kemampuan audio adalah setara dan menunjukkan peningkatan berbanding Galaxy S7 Edge. Di dalam kategori audio keputusan adalah seri.

Nilai Tambahan

Samsung Galaxy Note 8

Sistem pengecasan pantas, pengecasan tanpa wayar, kalis air IP68, rekaan hampir semua-skrin, skrin HDR, imbasan wajah, imbasan retina, NFC dan Samsung Pay wujud pada kedua-dua peranti. Kesemuanya adalah fungsi terkini yang perlu ada pada peranti utama 2017. Galaxy Note mempunyai beberapa fungsi tambahan dalam bentuk dwi-kamera, RAM lebih besar dan sokongan stylus S-Pen. Tiada peranti utama di pasaran sekarang mempunyai stylus terbina seperti N0te 8

Pada waktu artikel ditulis harga jualan rasmi Galaxy Note 8 ialah RM3999 manakala Galaxy S8+ pula dijual pada harga RM3699. Adakah membayar RM300 berbaloi untuk menikmati fungsi-fungsi tambahan Note 8? Ini tidak boleh kami jawab kerana definisi “berbaloi” berbeza mengikut individu. Bagi kami fungsi zoom optikal dan Live Focus adalah keperluan kerja dan membayar RM300 untuk menikmatinya adalah berbaloi. Terpulang kepada setiap individu untuk melakukan pembelian lebih bijak.


Bagaimana pula dengan pembaca Amanz? Peranti manakah di antara dua phablet bersaiz besar ini lebih menarik minat anda? Di dalam kategori peranti utama dengan spesifikasi tinggi, hanya LG V30 dan iPhone X kami rasakan berada di dalam kelas yang sama dengan dua peranti yang kami bandingkan di dalam artikel ini. Buat masa ini LG V30 dan iPhone X masih belum dipasarkan di Malaysia. Kami akan cuba menghasilkan sebuah lagi artikel perbandingan di masa hadapan untuk membandingkan kesemua peranti ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd