Kepopularan basikal elektrik di negara barat semakin meningkat kerana kesedaran untuk mengurangkan penggunaan kenderaan bahan api fosil. Pemilik boleh mengaktifkan motor elektrik apabila mendaki kawasan berbukit dan ini mengurangkan penat mengayuh sepanjang masa. Tetapi BMW merasakan rekaan tempat duduk basikal elektrik sedia ada perlu diperbaiki.
Oleh itu mereka bekerjasama dengan Selle Royal bagi menghasilkan tempat duduk eZone, Tempat duduk ini lebih lebar dan mempunyai bahagian belakang yang lebih tinggi. Basikal elektrik boleh memecut ke hadapan dengan pantas dan ini mengakibatkan penunggang melungsur ke belakang apabila menggunakan tempat duduk rekaan biasa.
Bahan gel digunakan sebagai pelapik bagi meningkatkan keselesaan ketika menunggang dengan lama. Pemegang yang diperbuat daripada gentian kaca diletakkan pada bahagian eZone bagi memudahkan basikal elektrik yang lebih berat diangkat dengan selesa. eZone akan mula dijual Oktober ini tetapi harga masih belum diumumkan.