GPS atau Global Positioning System adalah salah satu ciri yang membolehkan peranti mengambil kelebihan sistem navigasi berasaskan satelit dalam mengetahui kedudukan semasa mereka. Terdapat pelbagai peranti yang mengintegrasikan sokongan GPS, dan salah satu yang sangat popular pada masa kini adalah pada telefon pintar.
Melalui sistem GPS pada telefon pintar pada hari ini, ia menawarkan kejituan sehingga kepada 5 meter – sekaligus menawarkan kemudahan untuk anda bernavigasi dan menyemak lokasi semasa dengan mudah. Dengan kejituan mencapai 5 meter, ada kalanya anda mungkin melihat kedudukan anda sedikit tersasar pada peta ketika melihatnya pada telefon pintar – namun, bermula tahun depan, perkara tersebut dilihat telah mula diatasi.
Broadcom, salah satu pengeluar terkemuka untuk cip GPS kini telah mengumumkan sebuah sip baru untuk telefon pintar yang menawarkan kejituan sehingga kepada 30 sentimeter.
Perkara ini berjaya dicapai melalui cip Broadcom BCM47755 yang baru, selain sistem pancaran satelit yang dinaik-taraf, serta sejumlah satelit baru. Ia turut akan menyertakan sokongan siaran gelombang L5 yang menawarkan lebih kejituan kepada peranti anda.
Isyarat L5 ini juga dikatakan boleh mengelak pantulan pada bangunan, sekaligus memberikan anda lokasi yang lebih tepat walaupun berada di lokasi dengan bangunan yang tinggi.
Buat masa ini, Broadcom tidak mengumumkan sebarang nama telefon pintar yang akan menggunakannya. Dengan penawaran ini, ia mungkin akan ditawarkan pada peranti berspesifikasi tinggi terlebih dahulu – sebelum diperluaskan ke peranti lain pada tahun-tahun akan datang.