Mozilla telah mengumumkan projek Quantum mereka pada tahun lepas, iaitu pembangunan enjin web untuk komputer moden dengan menggunakan pelbagai ciri-ciri dan teknologi baru.
Setelah melalui pelbagai fasa pembangunan, kini Mozilla telah mengintegrasikan enjin Quantum pada Firefox Beta terkini – sekaligus membolehkan lebih ramai pengguna seluruh dunia mengujinya dengan mudah.
Menurut Mozilla, melalui ujian penanda aras Speedometer 2.0, enjin Quantum menawarkan kepantasan lebih 2 kali ganda berbanding enjin yang digunakan pada Firefox sebelum ini. Malah, Mozilla turut membandingkan ia dengan Chrome, dan memperlihatkan Firefox Quantum ini lebih pantas berbanding dengan Quantum.
Mozilla mengatakan Firefox Quantum lebih pantas kerana ia mengambil kelebihan penggunaan multi-CPU yang hadir pada peranti hari ini. Ia sekaligus membolehkan pemprosesan lebih efisyen berbanding sebelum ini yang hanya berjalan pada hanya satu CPU sahaja.
Disamping itu, Firefox Beta juga kini hadir dengan integrasi Pocket secara terbina untuk memudahkan anda menyimpan sebarang pautan untuk rujukan masa akan datang.
Bagi anda yang berminat, boleh mencuba Firefox Quantum hari ini melalui versi Beta. Firefox Quantum akhir dijangka dilancarkan pada 14 November 2017 kelak.
- Muat-Turun Firefox Beta untuk desktop