Cari @ Amanz

Microsoft mengumumkan tablet komputer hibrid terbaru mereka, Microsoft Surface Pro di sebuah acara di Shanghai pada pertengahan tahun ini. Dari segi luaran, tidak banyak yang nampaknya berbeza berbanding dengan tablet Surface Pro 4 sebelum ini, tetapi dari segi dalaman, nampaknya Microsoft telah membina sebuah tablet yang mempunyai prestasi yang mampu bersaing dengan banyak laptop-laptop yang lebih besar di luar sana.

Microsoft Malaysia telahpun mula menjual tablet terbaru ini di pasaran tempatan bermula bulan lepas melalui laman web Lazada Malaysia, tetapi syarikat tersebut membuat pengumuman rasmi mengenainya baru-baru ini, dan kami di Amanz sempat mencubanya buat beberapa ketika.

Spesifikasi Dan Rekaan

Bermula dengan spesifikasi, tablet Surface Pro ini hadir dengan cip pemproses Intel generasi ketujuh Kaby Lake, dan hadir dengan pilihan CPU Intel Core m3, Core i5 dan juga Core i7, bergantung kepada keperluan anda. Ia juga hadir dengan jumlah memori DDR4 yang bermula dari 4GB sehinggalah 16GB dan storan pantas SSD dari 128GB sehinggalah 512GB.

Model-model yang hadir dengan CPU Intel Core m3 dan juga Core i5 cukup menarik kerana kedua-dua CPU ini disejukkan secara pasif melalui cangkerang Surface Pro terbaru yang diperbuat daripada logam magnesium. Ini juga membolehkan tablet Surface Pro terbaru ini hadir dengan jumlah berat yang cukup rendah pada 768g, bergantung pada spesifikasi tablet tersebut.

Dari segi port I/O, tablet Surface Pro hadir dengan dua buah port, termasuklah sebuah port USB 3.0 Type-A dan juga Mini Displayport. ia juga mempunyai sebuah pembaca kad microSD yang terletak di kedudukan yang sama seperti sebelum ini pada tablet-tablet Surface Pro 3 dan Surface Pro 4.

Satu lagi penambahbaikan yang hadir pada tablet Surface Pro terbaru ini ialah paparan skrin 12.3 inci yang menggunakan teknologi PixelSense dengan nilai PPI setinggi 267PPI dan resolusi 2736 x 1824 pixel. Sama seperti paparan tablet Surface Pro sebelum ini, paparan Surface Pro terbaru ini juga hadir dengan nisbah paparan 2:3, sama seperti nisbah sehelai kertas A4.

Kickstand tablet Surface Pro ini juga hadir dengan sebuah kemaskini terbaru, dimana tablet tersebut boleh dibaringkan hampir sepenuhnya, dengan mod yang dinamakan Studio Mode. Rekaan kickstand terbaru ini membolehkannya ditolak kebelakang sehingga hampir 180 darjah.

Ciri-Ciri

Tablet Microsoft Surface Pro terbaru ini hadir dengan beberapa ciri-ciri yang boleh dikatakan agak menarik untuk mereka yang sering bekerja di luar kawasan pejabat.

Pertama sekali ialah kebolehannya untuk boot up daripada keadaan tertutup ke paparan log masuk dalam masa 4 mili-saat. Dari segi ketahanan bateri pula, pihak Microsoft menjangkakan tablet tersebut mampu bertahan selama 13.5 jam, dan ini sebuah penambahbaikan yang cukup tinggi berbanding 9 jam pada tablet Surface Pro 4 sebelum ini.

Sama seperti Surface Pro 4, tablet Surface Pro terbaru ini hadir dengan sokongan untuk Windows Hello, dimana pengguna boleh log masuk kedalam komputer mereka dengan menggunakan teknologi pengecaman wajah tanpa perlu menggunakan kata laluan yang rumit.

Sama seperti Surface Pro 4, tablet Surface Pro terbaru tidak hadir dengan sebarang pengimbas cap jari, dan hanya menggunakan webcam dan teknologi Windows Hello sebagai langkah keselamatan.

Jika anda masih mahu menggunakan pengimbas cap jari, tablet Surface Pro ini juga serasi dengan papan kekunci Type Cover yang dilancarkan Microsoft Surface Pro 4. Malah, tablet Surface Pro baru ini boleh digunakan dengan mana-mana Type ataupun Touch Cover yang dilancarkan sebelum ini.

Aksesori

Sama seperti model-model Surface dan Surface Pro yang terdahulu, tablet Microsoft Surface Pro terbaru hadir dengan beberapa aksesori tambahan yang melengkapkan tablet ini. Ini termasuklah aksesori papan kekunci Type Cover, dan juga stylus Surface Pen yang terbaru.

Aksesori papan kekunci Type Cover terbaru dari Microsoft hadir dengan beberapa penambahbaikan yang kecil, tetapi cukup penting untuk keselesaan pengguna. Kemaskini yang paling ketara sekali ialah melalui penggunaan kain Alcantara, yang biasanya digunakan untuk meliputi bahagian dalaman jenama-jenama mahal dan premium seperti Porsche, ataupun kapal layar puak bangsawan.

Sewaktu kami mencuba peranti Surface Pro dengan papan kekunci Type Cover yang terbaru ini, kami dapat rasakan bahawa keselesaan menaip lebih baik daripada model-model sebelum ini. jarak diantara kekunci juga diperbaiki, dan kelemahan seperti tersilap menekan kekunci juga dikurangkan, terutamanya untuk mereka yang sudah biasa dengan teknik menaip touch-typing.

Aksesori kedua yang melengkapkan tablet Microsoft Surface Pro ini ialah stylus Surface Pen yang terbaru. Dari segi rekaan, stylus terbaru ini tidaklah begitu berbeza berbanding dengan Surface Pen sebelum ini, tetapi sama seperti tablet Surface Pro yang baru, ciri-ciri terbaru peranti ini hadir dari segi dalaman.

Surface Pen terbaru ini mempunyai 4096 tahap tekanan, hampir dua kali ganda lebih sensitif berbanding stylus sebelum ini. Ia juga mempunyai kadar latensi yang sangat rendah pada 29ms, dan pada pendapat kami sewaktu kami mencubanya, ia rasa seperti kami sedang menulis menggunakan pen yang sebenar diatas laptop ini.

Penutup

Sebagai seorang pengguna tablet Microsoft Surface Pro 3, saya rasakan bahawa peranti terbaru daripada Microsoft ini seperti memberi nafas baru kepada siri tablet Surface Pro ini. Rekaannya mungkin tidak banyak berbeza walaupun apabila dibandingkan dengan tablet dari dua generasi yang lalu, tetapi dari segi prestasi dan ciri-ciri baru, perbezaan kedua-dua tablet ini boleh dikatakan hampir seperti langit dengan bumi.

Ciri-ciri baru seperti Studio Mode yang membolehkan kickstand ditolak hampir 180 darjah ke belakang, bateri tahan lama 13.5 jam, dan juga papan kekunci Type Cover dengan rekaan baru yang membuatkan aktiviti menaip lebih selesa semuanya bekerjasama untuk membuatkan tablet Microsoft Surface Pro ini sebuah tablet yang sangat bagus untuk mereka yang sering bekerja di luar pejabat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd