Tetikus Logitech G603 Dan Papan Kekunci Mekanikal G613 Tanpa Wayar Dilancarkan

Tetikus Logitech G603 Dan Papan Kekunci Mekanikal G613 Tanpa Wayar Dilancarkan

Diterbitkan pada Sep 28, 2017 oleh .

Bagi insan yang benci dengan wayar berselirat, aksesori komputer tanpa wayar adalah keperluan harian. Sejak kebelakangan ingin teknologi aksesori semakin matang dengan bateri yang bertahan lebih lama dan sambungan yang lebih boleh diandalkan. Logitech telah melancarkan dua lagi aksesori tanpa wayar mereka dalam bentuk tetikus dan papan kekunci mekanikal.

 Papan kekunci Logitech G613 LIGHTSPEED Wireless Mechanical Gaming Keyboard menggunakan teknologi Lightspeed dengan masa tindak balas 1ms selepas kekunci ditekan. Ini membolehkannya dijadikan kekunci untuk sesi permainan komputer. Suis Romer-G digunakan dengan ketahanan sehingga 70 Juta tekanan. Hanya dua bateri AA diperlukan dan ia boleh bertahan sehingga 18 bulan.

Terdapat enam kekunci G-Keys yang boleh diprogramkan untuk makro. Teknologi bluetooth digunakan bagi membolehkannya ditambat pada peranti Windows Mac, Chrome OS, Android dan iOS.

Tetikus Logitech G603 LIGHTSPEED Wireless Gaming Mouse pula dilengkapi sensor HERO (High Efficiecny Rated Optical) yang sepuluh kali ganda lebih jimat dalam penggunaan bateri. Pada tetapan rendah satu bateri AA boleh bertahan sehingga 18 bulan manakala pada tetapan tinggi bateri mampu bertahan selama 500 jam.

Keperincian boleh ditetapkan di antara 200 hingga 12000 DPI. Teknologi Lightspeed sekali lagi digunakan bagi mengurangkan masa tindak balas tetikus. Ia boleh ditambat secara bluetooth kepada peranti Windows, Mac, Chrome OS dan Android.

Logitech G603 LIGHTSPEED Wireless Gaming Mouse dan G613 LIGHTSPEED Wireless Mechanical Gaming Keyboard akan memasuki pasaran tempatan bermula Oktober ini. Harga jualan adalah RM 329 untuk tetikus dan RM 499 untuk papan kekunci mekanikal.


TIPS & ULASAN