Tencent Dalam Perbincangan Untuk Mendapatkan Pegangan Pada PUBG

Tencent Dalam Perbincangan Untuk Mendapatkan Pegangan Pada PUBG

Diterbitkan pada Sep 30, 2017 oleh .

PUBG atau nama penuhnya PlayerUnknown’s Battlegrounds merupakan salah satu permainan yang diperkatakan ramai pada tahun ini. Ia telah dilancarkan di Steam dibawah label Early Access, dan sejak dilancarkan kini ia mempunyai jutaan pemain seluruh dunia – mendahului permainan lain, termasuk Dota 2 yang dimiliki oleh Valve.

Permainan yang diterbitkan oleh Bluehole ini turut telah mengumumkan yang mana mereka bakal menawarkan versi Xbox tidak lama lagi. Bagi anda yang tidak mengetahui permainan PUBG ini, ia menawarkan kaedah permainan seumpama pada filem Battle Royale, dimana seramai hampir 100 pemain dijatuhkan di seuatu lokasi, dan mereka perlu menjadi pemain terakhir di medan perlawanan berkenaan.

Terkini, pembangunnya berkongsi beberapa perkembangan baru, dan menyasarkan untuk melancarkan permainan penuh tersebut menjelang penghujung 2017 kelak. Disamping itu, ia kini dilaporkan yang mana Tencent sedang dalam perbincangan untuk turut mendapatkan pegangan ekuiti melalui pelaburan pada syarikat disebalik permainan PUBG ini.

Tencent merupakan salah satu syarikat internet gergasi dari China, dan turut memfokuskan kepada arena permainan video. Mereka buat masa ini adalah pemilik disebalik Riot Games, disamping turut mempunyai pelaburan pada Activision Blizzard, Supercell dan juga Epic Games.

Ia dikatakan Tencent telah menghubungi Bluehole untuk perjanjian penerbitan, selain turut ingin membeli pegangan ekuiti dalam syarikat berkenaan. Kerjasama dengan Tencent turut akan membolehkan permainan berkenaan dipopularkan di China – salah satu negara dengan angka pemain video yang tinggi di dunia.

Maklumat lanjut mengenai perkara ini masih tidak dikongsikan lagi. Mungkin kita akan mendengar lebih lanjut mengenai hal ini dalam minggu-minggu akan datang.


TIPS & ULASAN