Alibaba Dan JD.com Dilaporkan Berminat Untuk Mengambil-Alih 11Street Malaysia

Alibaba Dan JD.com Dilaporkan Berminat Untuk Mengambil-Alih 11Street Malaysia

Diterbitkan pada Okt 2, 2017 oleh .

11Street Malaysia merupakan salah satu laman e-dagang popular tempatan yang bersaing dengan Lazada dan juga Shopee. Ia telah dimulakan beberapa tahun lepas hasil kerjasama Celcom Axiata dan juga SK Planet.

Sebelum ini, desas-desus telah hadir mengatakan SK Planet sedang menilai kembali pelaburan di luar Korea, dan mungkin menarik diri daripada pasaran Malaysia. Walaubagaimanapun, pihak 11Street pantas menidakkan ura-ura berkenaan, dan mengatakan mereka terus mengukuhkan kedudukan mereka dalam arena e-dagang Malaysia.

Terkini, sebuah laporan baru hadir daripada DealStreetAsia, mengatakan Alibaba dan JD.com berminat untuk mengambil-alih 11Street Malaysia.

Untuk makluman, JD.com merupakan salah satu laman e-dagang terbesar di China, dan mereka sedang melihat kepada memperluaskan pegangan mereka di pasaran Asia Tenggara. Pengambil-alihan atau pelaburan pada 11Street akan memberikan mereka peluang untuk memasuki pasaran tempatan, serta menerokai lanjut pasaran Asia Tenggara.

Untuk Alibaba pula, sekiranya mereka mengambil-alih 11Street, ia akan terus mengukuhkan kedudukan mereka di Malaysia dan beberapa negara lain – memandangkan mereka sedia melabur pada Lazada yang mempunyai pegangan pasaran besar. Perkara ini juga akan membuatkan beberapa pesaing baru berkira-kira untuk memasuki pasaran tempatan yang mungkin dipegang oleh Alibaba. Sebelum ini, Alibaba yang mempunyai pegangan di Lazada, turut melabur pada Tokopedia – iaitu salah satu laman e-dagang terbesar di Indonesia – menjadikan Alibaba mempunyai pegangan pada kedua-dua syarikat e-dagang di Indonesia.

Seperti biasa, sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut mengenai 11Street di Malaysia.


TIPS & ULASAN