MSI Memperkenalkan Papan Induk MSI Z370 Gaming Pro AC Dan MSI Z370 GODLIKE Gaming
MSI

MSI Memperkenalkan Papan Induk MSI Z370 Gaming Pro AC Dan MSI Z370 GODLIKE Gaming

Diterbitkan pada Okt 4, 2017 oleh .

Dengan kehadiran CPU Intel tidak lama lagi, pihak MSI memperkenalkan dua papan induk kelas atasan terbaru mereka, iaitu MSI Z370 Gaming Pro AC dan juga MSI Z370 GODLIKE Gaming khusus untuk CPU Intel generasi ke-8 Coffee Lake.

Papan induk MSI Z370 Gaming Pro AC hadir dengan ciri-ciri yang cukup menarik untuk binaan komputer berspesifikasi yang berkuasa. Ia mempunyai empat slot RAM DDR4 yang mampu menyokong jumlah memori sehingga 64GB, dan dua slot PCIE 3.0 x16 yang hadir dengan perisai untuk menyokong penggunaan kad grafik yang besar dan berat, dan sebuah lagi slot PCIE 3.0 x4 yang boleh digunakan untuk perkakasan-perkakasan lain seperti SSD PCIE.

Papan induk ini juga hadir dengan sokongan untuk WiFi 802.11ac, tetapi ia tidak terbina didalam papan induk tersebut. Sebaliknya, ia hadir dalam bentuk sebuah kad mPCIE secara berasingan, dan ia juga hadir dengan sokongan untuk teknologi Bluetooth 4.2. Jika anda lebih gemar menyambung kabel LAN ke komputer anda untuk sambungan ke Internet, papan induk ini juga hadir dengan dua port 10Gbps untuk kegunaan anda.

Papan induk MSI Z370 GODLIKE Gaming pula sebuah papan induk kelas bangsawan khusus untuk mereka yang mahukan prestasi terbaik dari komputer mereka dari semua aspek.

Bagi mereka yang mahu membina sebuah komputer khusus untuk tujuan overclocking, papan induk ini hadir dengan soket kuasa 24-pin, 8-pin dan soket PCIE 6-pin yang menguasakan VRM (Voltage Regulation Module) 18-fasa untuk overclocking yang lebih stabil.

Bagi mereka yang mahu menggunakan storan SSD yang banyak, papan induk MSI GODLIKE terbaru ini hadir dengan lima slot SSD PCIE, yang hadir dengan sokongan untuk kelajuan penghantaran data setinggi 32Gb/s, tiga daripadanya terbina di dalam papan induk, manakala dua lagi melalui sebuah expansion card  PCIE.

Kedua-dua papan induk ini juga hadir dengan teknologi pencahayaan RGB Mystic Light, jika anda mahu membina komputer yang bukan sahaja berkuasa, tetapi boleh menghiasi bilik anda dengan kelipan warna lampu seperti di disko.


TIPS & ULASAN