Cari @ Amanz

Huawei sebelum ini sedia memperkenalkan cip pemprosesan terbaru mereka, iaitu Kirin 970 dan bakal digunakan pada telefon pintar terkini, Huawei Mate 10. Hari ini, Huawei Malaysia mengambil peluang untuk berkongsi lanjut mengenai cip pemprosesan berkenaan, termasuk memperlihatkan beberapa contoh sokongan rakaman gambar melalui cip ini.

Kirin 970 merupakan cip pertama daripada Huawei yang menggunakan rekaan 10nm – selain turut dilengkapi unit pemprosesan neural yang menawarkan kuasa pemprosesan lebih pantas berbanding cip pemprosesan lain. Cip ini juga hadir dengan sokongan rangkaian LTE Cat 18 yang menawarkan sokongan muat-turun mencapai 1.2Gbps. Dari segi rangkaian, melalui penggunaan cip ini, ia menawarkan sokongan dwi-LTE pada kedua-dua kad SIM yang digunakan dalam peranti.

Disamping itu, Huawei turut mengatakan cip ini mampu menyokong audio 32-bit @ 384K HD nirhilang melalui penggunaan fon kepala Type-C.

Bercakap mengenai cip pemprosesan baru, semestinya salah satu perkara yang turut menjadi fokus adalah sokongan rakaman gambar.

Huawei melalui Kirin 970 memfokuskan kepada sokongan respon rakaman gambar yang pantas, kebolehan fokus sesuatu objek dengan cepat, mengenal-pasti gerakkan, dan pemprosesan pada kadar keadaan cahaya malap.

Malah, Huawei turut memperlihatkan perbandingan rakaman gambar oleh mereka antara iPhone 8 Plus dan juga menggunakan pemprosesan Kirin 970.

Kirin 970

Kirin 970

Kirin 970

Kirin 970

Melalui penggunaan Kirin 970, ia memperlihatkan rakaman gambar yang lebih jelas ketika bergerak, pada keadaan cahaya malap, serta mengoptimasikan keadaan cahaya pada wajah dan persekitaran.

Seperti ramai sedia maklum, Mate 10 akan menjadi peranti pertama menggunakan Kirin 970 – dan kita mungkin akan melihat lebih banyak perbandingan gambar antara Mate 10 dan juga iPhone 8 Plus pada pelancarannya kelak.

Huawei menjadualkan pengenalan telefon pintar baru mereka dalam masa dua minggu lagi. Sama-sama kita nantikan apakah ciri lanjut yang dibawakan oleh telefon pintar Mate 10 melalui penggunaan Kirin 970 ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd