5 Perkara Menarik Pada Google Pixel 2 Dan Pixel 2 XL

5 Perkara Menarik Pada Google Pixel 2 Dan Pixel 2 XL

Diterbitkan pada Okt 5, 2017 oleh .

Google Pixel generasi kedua akhirnya dilancarkan semalam dan adalah percaturan Google untuk mengalahkan Apple sebagai pengeluar peranti terbik. Tahun lalu Google Pixel hanya dilancarkan di pasaran-pasaran terpilih. Ia turut mempunyai beberapa kekurangan dan dengan Google Pixel 2, kesemua kelemahan ini telah berjaya diselesaikan. Berikut ialah lima perkara yang kami rasakan menarik pada Google Pixel 2 dan Pixel 2 XL.

Pilihan Dua Rekaan Berbeza

Rekaan hampir semua-skrin dan nirbingkai adalah amat hangat tahun ini. Samsung, Vivo, Huawei, Apple dan LG kesemuanya mempunyai peranti dengan rekaan ini. Skrin kini lebih panjang menghasilkan paparan yang sinematik. Ia adalah anjakan paradigma dari skrin 16:9 yang pertama kali muncul pada iPhone 5 lima tahun yang lalu. Tetapi kami menyedari rekaan baru ini walaupun cantik tidak mudah digunakan dengan sebelah tangan. Paparan memanjang membuatkan sukar bahagian atas skrin untuk diakses.

Oleh itu kami cukup gembira kerana Google memberikan dua rekaan untuk Pixel 2 tahun ini. Bagi yang lebih selesa dengan rekaan skrin 16:9 dengan dagu serta dahi, Google Pixel 2 boleh dibeli. Bagi yang telah bersedia untuk menggunakan peranti hampir semua-skrin, Google Pixel 2 XL boleh dibeli. Ini ialah sama seperti yang dilakukan oleh Apple tahun ini.

Kamera Dengan OIS Dan Mod Potret

Tahun lalu kamera Google Pixel dipuji kerana kemampuan kamera yang baik. Tetapi ada sedikit rungutan dari pengguna yang merasakan sistem penstabilan elektronik (EIS) tidak sebaik sistem penstabilan optikal (OIS). Oleh itu tahun ini kedua-dua EIS dan OIS disokong. Google masih menggunakan sistem mono-kamera tidak seperti Apple dan Samsung. Sungguhpun begitu mereka mendakwa sistem satu kamera ini masih mampu menyokong mod potret dengan kesan khas bokeh yang bergantung sepenuhnya pada perisian. Mod potret ini boleh digunakan pada kamera hadapan dan belakang.

Ketahanan Kalis Air IP67

Ini sebuah lagi kemaskini yang dimahukan oleh pengguna. Akhirnya Google Pixel hadir dengan ketahanan kalis air IP67. Dengan ini pengguna tidak perlu risau peranti mengalami kerosakan apabila terperangkap di dalam hujan atau peranti terjatuh ke dalam tandas. Sejak tahun lalu lagi kami mengatakan ketahanan kalis air harus menjadi standard pada peranti-peranti utama. Teknologi kini cukup matang dan tiada lagi alasan untuk tidak menyertakannya.

Pembesar Suara Stereo

Pembesar suara stereo kali pertama ditemui pada HTC One M7. Sistem audio BoomSound menhala ke hadapan dan menjadi ikutan peranti lain. Aneh sekali HTC tidak lagi menggunakan rekaan yang dipelopori mereka sendiri. Google merasakan rekaan HTC ini harus dihidupkan semula dan pembesar suara stereo boleh ditemui pada Pixel 2 dan Pixel 2 XL. Kami kerap menonton video menggunakan peranti dan sistem audio stereo dengan kedua-dua pembesar suara menghala ke hadapan memberikan kualiti audio yang paling baik.

Integrasi Google Lens

Dengan integrasi Google Lens terus pada aplikasi kamera dan Google Assitant, peranti kini lebih pintar dan mampu mengenali objek. Sistem kecerdasan buatan mengenalpasti objek yang wujud di dalam gambar. Apabila gambar fon kepala misalnya, Google Lens akan memberikan jenama dan dimanakah ia boleh dibeli. Dari gambar artis, pautan ke video YouTube dan muzik dari Google Play Music akan dipaparkan. Tiada keperluan untuk menaik untuk mencari maklumat. Dengan hanya mengambil gambar, jawapan dapat dicari dengan pantas.

Apakah fungsi pada Google Pixel dan Pixel 2 XL yang paling menarik minat anda? Adakah anda berminat untuk memiliki salah satu dari peranti-peranti sekiranya ia memasuki pasaran Malaysia?


TIPS & ULASAN