5 Perkara Mengecewakan Pada Google Pixel 2 Dan Pixel 2 XL

5 Perkara Mengecewakan Pada Google Pixel 2 Dan Pixel 2 XL

Diterbitkan pada Okt 6, 2017 oleh .

Google Pixel 2 dan Pixel 2 XL dilancarkan dua hari yang lalu bagi bersaing dengan model iPhone terkini. Peranti ini dilengkapi pelbagai teknologi terkini dengan sasaran menjadi peranti terbaik di pasaran. Tetapi ia masih lagi belum sempurna di mata kami. Masih terdapat beberapa kelemahan yang mengecewakan. Berikut ialah senarai lima perkara yang mengecewakan kami.

Baca – 5 Perkara Yang Menarik Pada Google Pixel 2 dan Pixel 2 XL

Tiada Zoom Optikal

Google dengan bangganya mengatakan kamera pada Pixel 2 adalah yang terbaik di pasaran. Ia mencatatkan markah tertinggi DXOMark dan mampu mengambil gambar bokeh walaupun hanya tidak dilengkapi sistem dwi-kamera. Ini sememangnya menakjubkan tetapi hakikatnya Pixel 2 tidak mempunyai fungsi zoom optikal. Selepas menggunakan iPhone 7 Plus dan Note 8, fungsi zoom optikal 2X ialah antara yang kerap kami gunakan terutamanya ketika melakukan tugasan luar.

Zoom digital mungkin boleh mencecah 8X tetapi kualitinya tidak begitu baik. Goggle mempertaruhkan kemampuan perisian dan pembelajaran mesin untuk menghasilkan gambar yang baik. Tetapi realitinya zoom optikal akan sentiasa lebih baik berbanding zoom digital.

Tiada Pengecasan Tanpa Wayar

Tahun ini Google mendengar rungutan pengguna Pixel dan memperbaiki segala kekurangan yang wujud. Akhirnya Google Pixel 2 kalis air dan mempunyai pembesar suara stereo. Tetapi satu fungsi yang masih tidak disokong ialah pengecasan tanpa wayar. Mungkin ada pembaca yang mengatakan ini fungsi tidak perlu.

Tetapi anda harus ingat, Pixel 2 ialah pesaing kepada Galaxy S8. Note 8, iPhone 8 dan iPhone X di dalam segmen peranti utama pada harga premium. Apabila peranti dijual pada tanda harga ini, pengguna mahukan segala fungsi yang boleh disumbat ke dalam peranti. Tidak munasabah Pixel 2 tidak mempunyai sokongan pengecasan wayar tetapi dijual pada harga setanding Galaxy S8, Note 8, iPhone 8 dan iPhone X

Active Edge Dengan Fungsi Amat Terhad

HTC U11 ialah peranti kegemaran kami setakat ini. Ia tidak mempunyai fungsi rekaan semua-skrin atau dwi-kamera tetapi ia berfungsi dengan lancar. Gimik jualan U11 ialah Edge Sense, bingkai yang boleh dipicit untuk mengawal peranti.  Di dalam ulasan U11, kami mengeluh Edge Sense hanya menyokong dua aksi. HTC telah memberikan kemaskini yang menambah fungsi Edge Sense September yang lalu.

Fungsi ini dipinjam pada Pixel 2 dan dijenamakan semula sebagai Active Edge. Active Egde hanya menyokong pelancaran Google Assistant dan mematikan deringan telefon apabila bingkai dipicit. Ini sekaligus membuatkannya lebih terhad berbanding yang ditemui pada U11. Tindakan Google sama seperti Samsung yang tidak membenarkan butang Bixby dipetakan semula untuk melakukan fungsi lain. Tiada logik disini. Peranti baru seharusnya datang dengan fungsi yang lebih baik. Bagi mereka yang mahukan fungsi bingkai boleh dipicit, HTC U11 ialah pilihan yang lebih bijak pada waktu ini.

Tiada Bicu Audio

Apple iPhone 7 mempopularkan trend peranti tanpa bicu audio. Tahun 2017 ialah tahun anti bicu audio dengan HTC U11 dan Pixel 2 turut mengikut trend ini. Sebagai pengulas peranti sepenuh masa, kami masih merasakan bicu audio masih diperlukan. Apabila fon kepala bluetooth kehabisan bateri, ia boleh terus berfungsi jika disambung ke bicu audio peranti.

Aksesori audio dengan bicu audio lebih mudah dimiliki pada harga yang lebih mampu milik. Kami mempunyai beberapa penyesuai USB-C ke bicu audio tetapi ia tidak universal. Ramai tidak menyedari penyesuai USB-C ke bicu audio Xioami dan fon telinga USB-C HTC U-Sonic tidak boleh digunakan pada peranti lain. Penggunaan USB-C telah menimbulkan masalah baru yang menyusahkan pengguna.

Hakikatnya majoriti pengguna masih belum bersedia untuk hidup di dalam dunia tanpa bicu audio. Google pula seperti meludah ke langit kerana tahun lalu mereka mengiklankan Pixel dengan fungsi bicu audio sambil memperlekehkan iPhone 7.

Bezel Agak Tebal Untuk Peranti 2017

Perkara terakhir yang ingin kami sentuh ialah bezel yang tebal pada Pixel 2 XL. Peranti ini kami difahamkan dihasilkan oleh LG. Oleh sebab itu ia kelihatan seperti sebuah LG V30. Perbezaan yang ketara ialah bezel atas serta sisi skrin Pixel 2 XL adalah lebih tebal berbanding peranti dengan rekaan semua-skrin yang lain.

Isu bezel sisi yang tebal ini turut ditemui pada iPhone X, Vivo V7+ dan Huawei Nova 2i. Kami memaafkan Nova 2i dan Vivo V7+ kerana kedua-duanya peranti hampir semua-skrin kelas pertengahan. Untuk bersaing dengan Samsung dan LG, kami berharap skrin dengan bezel lebih nipis digunakan tahun hadapan.

Ini sahaja lima perkara yang mengecewakan pada Google Pixel dan Pixel 2 XL. Diharap Google akan terus mendengar maklum balas pengguna dan memperhalusi rekaan Pixel 3 tahun hadapan.


TIPS & ULASAN