Carian
Tanda Harga Siri Papan Induk ASUS Z370 Diperlihatkan – Akan Mula Dijual Pada 6 Oktober
October 5, 2017 Nazrin

ASUS Malaysia memperkenalkan siri papan induk ASUS Z370 mereka beberapa hari yang lalu, dan ini termasuklah siri ASUS Z370 ROG, ROG STRIX, TUF Gaming dan juga PRIME. Syarikat tersebut juga menyatakan bahawa papan-papan induk tersebut akan hadir pada masa yang sama dengan CPU Intel Coffee Lake, dan kini nampaknya tanda harga untuk beberapa papan induk tersebut telahpun diumumkan oleh ASUS Malaysia.

Dari siri ASUS ROG, papan induk ASUS ROG Maximus X Hero, dengan ciri-ciri seperti teknologi overclocking ASUS Pro Clock II, gabungan teknologi audio SupremeFX dan Sonic Studio III dan juga sistem penyalaan RGB Aura Sync dilihat akan dijual pada harga RM1386.

Papan induk ASUS ROG STRIX Z370F Gaming pula hadir dengan tanda harga RM999 dan walaupun ia hadir di bawah jenama ASUS ROG, papan induk ini masih lagi hadir dengan ciri-ciri yang digemari oleh golongan PC gamer, termasuklah teknologi overclocking 5-way Optimization, penggunaan teknologi audio SupremeFX dan Sonic Studio III untuk memastikan bahawa para penggemar permainan komputer masih lagi dapat prestasi yang terbaik daripada komputer mereka.

 

ASUS TUF Z370 Plus Gaming pula salah sebuah papan induk TUF Gaming terbaru daripada ASUS, dan akan dijual pada harga RM899. Ini bertepatan dengan tujuan baru ASUS untuk siri papan induk The Ultimate Force ini. untuk menjadikannya sebuah siri papan induk gaming mampu-milik buat semua orang.

Papan induk ASUS PRIME Z370-P adalah untuk mereka yang tidak mahukan prestasi sebuah papan induk yang berkuasa, tetapi tidak begitu berminat dengan ciri-ciri tambahan seperti Aura Sync dan sebagainya. Papan induk ini akan dijual pada harga RM770, tetapi masih hadir dengan ciri-ciri utama seperti kebolehan overclocking untuk CPU dan RAM.

Kesemua papan-papan induk ini akan hadir di kedai-kedai komputer di seluruh Malaysia pada 6 Oktober, dan tanda-tanda harga yang diberikan semuanya termasuk cukai GST 6 peratus.

Komen