Peranti Android Wear Tidak Lagi Ditawarkan Di Google Store

Peranti Android Wear Tidak Lagi Ditawarkan Di Google Store

Diterbitkan pada Okt 5, 2017 oleh .

Acara khas Google semalam didominasi oleh pembesar suara Google Home dan peranti pintar Pixel 2. Sama ada anda sedar atau tidak, tiada jam tangan pintar Android Wear dilancarkan. Malahan di dalam semua video promosi Pixel 2 serta Google Home, peranti Android Wear langsung tidak dipaparkan. Hari ini pautan ke laman jualan Android Wear tidak lagi dipaparkan di Google Store seperti sebelum ini.

Jika anda ke Google Store Amerika Syarikat, hanya terdapat pautan untuk telefon, komputer riba & tablet, realiti maya, rumah & hiburan dan aksesori.  Laman untuk Android Wear masih boleh diakses sekiranya pengguna mengingati alamatnya. Namun sekiranya butang “beli” ditekan untuk dua model LG yang ditawarkan sebelum ini, produk dikatakan tidak lagi boleh dibeli.

Terdapat spekulasi Google tidak lagi menumpukan perhatian kepada Android Wear. Tetapi jualan jam tangan pintar Android Wear adalah kurang memberangsangkan. Pengeluaran model baru juga semakin perlahan berbanding dua tahun yang lalu. Terdapat juga teori kedua pautan dibuang sementara bagi memberikan tumpuan kepada produk baru yang dilancarkan semalam.

Tiga tahun sejak Android Wear dilancarkan kami akui masih belum mempunyai minat untuk menggunakan jam tangan pintar. Anda pula bagaimana? Adakah jam tangan pintar sesuatu yang perlu dimiliki?


TIPS & ULASAN