Beberapa CPU AMD Ryzen 5 1600 Dan 1600X Hadir Dengan 8 Teras Dan 16 Bebenang Kuasa
AMD

Beberapa CPU AMD Ryzen 5 1600 Dan 1600X Hadir Dengan 8 Teras Dan 16 Bebenang Kuasa

Diterbitkan pada Okt 6, 2017 oleh .

CPU AMD Ryzen 5 1600 dan 1600X sepatutnya hadir dengan 6 teras dan 12 bebenang kuasa sahaja. CPU ini dikatakan salah satu daripada cip pemprosesan komputer yang paling berbaloi dibeli oleh kerana prestasi dan nilai tanda harganya.

Kini nampaknya ada beberapa laporan yang telah tersebar yang menyatakan bahawa beberapa pengguna yang membeli CPU tersebut mendapati bahawa CPU AMD Ryzen 5 1600/X mereka hadir dengan 8 teras dan 16 bebenang kuasa.

Menurut laporan daripada WCCFTech, cip-cip pemprosesan yang hadir dengan 8 teras ini masih mempunyai nilai kelajuan yang sama, iaitu 3.6GHz dan kelajuan Turbo Core pada 4.0GHz. Apa yang menarik di sini ialah walaupun kelajuan CPU tersebut adalah sama, kerana penambahan dua teras pada CPU ini, prestasinya dikatakan sama taraf dengan CPU AMD Ryzen  7 1800X, yang dijual pada harga jauh lebih mahal daripada CPU AMD Ryzen 5 tersebut,

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa ini bukanlah suatu petanda bahawa AMD akan menaiktarafkan CPU AMD Ryzen 5, tetapi mungkin disebabkan kerana AMD menggunakan stok CPU 8-teras mereka untuk menambahkan lagi jumlah CPU Ryzen 5 mereka di pasaran.

Apa-apa pun, para pengguna yang mendapat CPU Ryzen 5 8-teras ini cukup bernasib baik kerana mereka boleh dikatakan mendapat CPU AMD Ryzen 7 1800/X untuk harga Ryzen 5 1600/X.


TIPS & ULASAN