Xiaomi Malaysia baru sahaja mula menawarkan telefon pintar Android One mereka, iaitu Mi A1 pada penghujung bulan lepas. Selain daripadanya, kini mereka turut akan mula menawarkan telefon pintar berspesifikasi rendah-pertengahan mereka terbaru untuk pasaran tempatan, iaitu Redmi Note 5A.
Xiaomi Redmi Note 5A hadir dengan skrin bersaiz 5.5-inci dengan paparan resolusi 720p. Ia menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 425, dilengkapi memori 2GB RAM, dan ruangan storan 16GB.
Melengkapkan telefon pintar ini adalah kamera belakang 13-megapixel, kamera hadapan 5-megapixel, dan bateri berkapasiti 3080mAh.
Xiaomi dilihat menyasarkan pengguna yang inginkan telefon pintar untuk ciri-ciri asas seperti permesejan, melayari web dan menonton video melalui telefon pintar ini – disamping pada masa yang sama inginkan skrin bersaiz besar.
Di Malaysia, ia akan ditawarkan bermula 11 Oktober ini, pada harga RM549.