Cari @ Amanz

Cakera keras berkapasiti tinggi nampaknya terus menular kebelakangan ini. Syarikat-syarikat seperti HGST dan Western Digital hadir dengan siri cakera keras mereka sendiri, dan kini nampaknya tiba giliran Seagate untuk hadir dengan peranti storan mereka sendiri.

Baru-baru ini, Seagate telah mengumumkan tiga siri cakera keras terbaru mereka, iaitu Seagate Barracuda Pro, Seagate IronWolf dan juga Seagate IronWolf Pro. Ketiga-tiga cakera keras ini hadir dengan pilihan storan setinggi 12TB, dan mempunyai aplikasi penggunaan mereka tersendiri.

Seagate Barracuda Pro direka khusus untuk penggunaan di dalam desktop. Ia boleh digunakan untuk menyimpan media hiburan, ataupun fail kerja yang perlu selalu diakses.

Seagate IronWolf dan IronWolf Pro pula direka khusus untuk digunakan bersama-sama dengan peranti Network Attached Storage (NAS) dengan konfigurasi RAID dan sebagainya.

Kesemua cakera-cakera keras ini hadir dengan kelajuan penghantaran data 250MB/s, dan menggunakan teknologi gas helium untuk menambahkan lagi kapasiti storan dengan memampatkan lagi jumlah-jumlah cakera di dalamnya.

Cakera keras Seagate Barracuda Pro dan IronWolf Pro hadir dengan waranti selama 5 tahun dan juga servis pemulihan data Seagate Rescue selama 2 tahun, manakala Seagate IronWolf pula hadir dengan waranti 3 tahun sahaja.

Dari segi tanda harga, Seagate Barracuda Pro dijual pada harga $529 (~RM2239), manakala Seagate IronWolf dan IronWolf Pro pula hadir dengan tanda harga $469 (~RM1985) dan $539 (~RM2279). Buat masa ini, kami masih tidak mengetahui jika siri cakera keras ini akan memasuki pasaran Malaysia ataupun tidak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd