1 Dari 4 Rakyat Malaysia Dikatakan Melayari Halaman Kandungan Cetak Rompak

1 Dari 4 Rakyat Malaysia Dikatakan Melayari Halaman Kandungan Cetak Rompak

Diterbitkan pada Okt 10, 2017 oleh .

Malaysia merupakan negara yang sedang melonjak naik dalam arena digital. Baik dari segi kadar pemilikan peranti pintar, dan juga kadar penembusan internet seluruh negara, apa sahaja berkaitan digital, Malaysia antara pelopor utama dunia digital. Namun begitu disebalik faktor ini, Malaysia juga merupakan negara ke 8 di Asia yang kerap melayari halaman menyediakan kandungan cetak rompak.

Dikatakan, sebanyak 1 dari 4 rakyat di Malaysia melayari halaman yang menyediakan kandungan cetak rompak. Berdasarkan halaman Similarweb, sebanyak 2.2 juta lawatan (visits) dilakukan pengguna bagi menstrim kandungan iFlix, HyppTV dan Astro tetapi hampir 8 juta lawatan dilakukan untuk laman cetak rompak.

Hal ini lebih menyedihkan kerana kandungan cetak rompak tidak menjana keuntungan untuk pengkarya mahupun penyedia perkhidmatan yang halal, sebaliknya penyedia laman web kandungan cetak rompak akan mendapat keuntungan hasil pengiklanan dari trafik dan jumlah lawatan yang banyak.

Bagi mengatasi masalah ini, Projek Infringing Website List diumumkan untuk Malaysia. Projek yang berasal dari England ini akan menyenaraikan laman web tempatan yang menyediakan kandungan cetak rompak, dan maklumat tersebut juga akan digunakan oleh agensi pengiklanan dan membolehkan pengiklanan jenama-jenama besar dihalang di laman web haram tersebut.

Projek ini sedang dalam proses perlaksanaan dan bakal beroperasi seawal Januari tahun depan. Dengan adanya projek sebegini, laman yang menyokong cetak rompak pastinya tidak dapat bertahan lama tanpa pendapatan iklan dari jenama besar.


TIPS & ULASAN