Selamat datang ke dunia pasca PC di mana majoriti insan di dunia mengakses kandungan internet menggunakan peranti pintar berbanding komputer peribadi. Gartner berkongsi anggaran angka jualan PC untuk suku ke-tiga 2017 dan prognosis terhadap masa depannya nampak semakin suram. Untuk 12 suku berterusan, jualan menunjukkan penurunan berbanding suku yang sama tahun lalu.
Sebanyak 67 Juta komputer peribadi terjual pada suku ketiga 2017 berbanding 69.5 Juta pada suku yang sama 2016. HP berada di tangga teratas dengan jualan hampir mencecah 14.6 Juta unit dengan pegangan 21.8% pasaran. Ini diikuti oleh Lenovo (14.356 Juta), Dell (10.154 Juta), Asus (4.892 Juta) dan Apple (4.613 Juta). Hanya HP menunjukkan peningkatan jualan sebanyak 4.4%.
Jualan semakin berkurangan sejak akhir-akhir ini kerana kurangnya minat dari pengguna. Pada waktu yang sama kekurangan DRAM di pasaran menyebabkan harga PC meningkat. Ini sedikit sebanyak menyebabkan pengguna tidak membeli PC baru. Kekurangan DRAM ini dijangka berterusan sehingga penghujung 2018.