Tali Apple Watch Yang Mengetat Secara Automatik Telah Dipatenkan Oleh Apple

Tali Apple Watch Yang Mengetat Secara Automatik Telah Dipatenkan Oleh Apple

Diterbitkan pada Okt 11, 2017 oleh .

Tali pada jam tangan biasanya mempunyai lubang yang telah di-pratebuk bagi membolehkan ia diikat pada tangan dengan rapi. Tetapi umum diketahui kerap kali lubang ini tidak mampu ditebuk dengan tepat mengikut saiz pergelangan sebenar pengguna. Akibatnya jam menjadi terlalu ketat atau sedikit longgar. Apple ingin menyelesaikan masalah ini pada Apple Watch dengan beberapa paten yang baru ditemui.

Tiga sistem telah dipatenkan oleh mereka. Sistem pertama terdiri daripada wayar yang terbina di dalam tali jam. Apabila butang ditekan, wayar yang melingkar di dalam tali akan mengetat secara automatik mengikut saiz pergelangan tangan pengguna.

Sistem kedua pula terdiri daripada ruang cecair/udara di dalam tali. Apabila cecair/udara dipam ke dalam ruang ini, ia mengembang sehingga mengikat kemas ke pergelangan tangan. Akhir sekali ialah sistem gerigi dan gear pada kepala tali jam yang akan mengunci secara berperingkat.

Pada ketiga-tiga sistem sensor nadi akan digunakan bagi memastikan tali jam tidak mengikat terlalu ketat sehingga menyukarkan aliran darah. Pemasangan tali yang betul pada peranti pengesan kesihatan adalah perlu bagi memastikan bacaan yang tepat. Apple kali pertama mempatenkan rekaan ini pada tahun 2015. Seperti biasa Apple banyak memfailkan paten yang tidak semestinya digunakan pada peranti sebenar.


TIPS & ULASAN