Cari @ Amanz

Siri kad grafik MSI yang terutama terdiri daripada siri GAMING X, Z dan juga Lightning. Perbezaan paling ketara diantara kedua-dua siri ini, selain daripada rekaan rangka penyejuknya ialah jumlah kipas yang digunakan. Kad grafik MSI Gaming X dan Z biasanya akan hadir dengan dua kipas melalui sistem Twin Frozr, manakala MSI Lightning pula hadir dengan tiga kipas melalui sistem penyejukan Tri-Frozr.

Terkini, MSI baru sahaja mengumumkan kehadiran dua kad grafik berasaskan kad NVIDIA GeForce GTX 1080 Ti. Kad-kad grafik ini ialah MSI GTX 1080 Ti GAMING Trio dan juga MSI GTX 1080 Ti GAMING X Trio. Kedua-dua kad grafik ini menggabungkan penjenamaan siri MSI Gaming, tetapi menggunakan sistem penyejukan TRI-FROZR yang dilihat pada kad grafik MSI Lightning.

Sistem penyejukan TRI-FROZR ini menggunakan tiga buah kipas TORX 2.0, dua buah kipas bersaiz 10mm dan sebuah kipas di bahagian tengah yang bersaiz 9.0mm. Ia juga hadir dengan enam paip haba dan juga heatsink yang direka untuk membantu mengalirkan haba daripada pemproses grafik dengan lebih cekap.

Perbezaan diantara kad grafik GAMING Trio dan GAMING X Trio ini dapat dilihat melalui kelajuan pemproses grafik. Kad grafik MSI GTX 1080 Ti Gaming Trio hadir dengan kelajuan GPU berikut:

  • 1620 MHz / 1506 MHz / 11016 MHz (OC Mode)
  • 1607 MHz / 1493 MHz / 11016 MHz (Gaming Mode)
  • 1582 MHz / 1480 MHz / 11016 MHz (Silent Mode)

Manakala kad grafik MSI GTX 1080 Ti GAMING X Trio pula:

  • 1683 MHz / 1569 MHz / 11124 MHz (OC Mode)
  • 1657 MHz / 1544 MHz / 11016 MHz (Gaming Mode)
  • 1582 MHz / 1480 MHz / 11016 MHz (Silent Mode)

Menurut MSI, kedua-dua kad grafik ini akan hadir di pasaran global pada bulan November kelak, dan masih belum memberi kata putus mengenai tanda harga.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd