Carian
KGI : Kesemua iPhone Tahun Hadapan Mungkin Tidak Akan Dilengkapi Pengimbas Cap Jari
October 13, 2017 Effi Saharudin

Sistem imbasan wajah Face ID mula digunakan pada iPhone X. Pada acara pelancarannya, Apple mengatakan Face ID adalah lebih selamat berbanding Touch ID. Bagi mereka yang masih mahukan iPhone dengan sistem imbasan cap jari, mungkin anda perlu mengucapkan selamat tinggal kepadanya seawal tahun hadapan.

Penganalisa popular daripada KGI, Ming-Chi Kuo mengatakan kesemua model iPhone yang dilancarkan tahun hadapan mungkin tidak akan dilengkapi pengimbas cap jari. Sebaliknya ia akan digantikan sepenuhnya oleh sistem Face ID. Sekiranya ini berlaku, ia adalah fungsi kedua yang tidak lagi disokong oleh Apple selepas bicu audio 3,5mm. Sebelum ini Kuo turut meramalkan peranti Android akan turut mengikut langkah Apple menggunakan sistem imbasan wajah bagi menggantikan pengimbas jari.

Persoalannya adakah ia akan diterima pengguna? Kami secara peribadi menggunakan pengimbas cap jari untuk menatal talam notifikasi dan mengawal peranti. Ia langsung tidak digunakan untuk menyahkunci peranti. Oleh itu kehilangan pengimbas ini sekiranya berlaku, akan menyukarkan penggunaan pada peranti dengan skrin yang besar.

Komen