Carian
Sebanyak 500 Juta Komputer Di Seluruh Dunia Digunakan Untuk Melombong Kriptowang Melalui Laman Sesawang
October 16, 2017 Nazrin

Susulan daripada kejadian The Pirate Bay menggunakan skrip untuk menggunakan komputer-komputer pelawat laman sesawang tersebut untuk melombong kriptowang untuk tujuan mendapatkan keuntungan untuk diri sendiri.

Terkini, nampaknya laman web The Pirate Bay bukan satu-satunya laman sesawang yang menggunakan skrip melombong CoinHive untuk tujuan tersebut. Didapati bahawa 2.2 peratus daripada laman sesawang 100,000 tertinggi di dunia menggunakan skrip CoinHive dan JSECoin ini, dan ia dianggarkan menggunakan 500 juta komputer pelawat di seluruh dunia untuk tujuan ini.

Laman-laman sesawang yang menggunakan skrip-skrip ini kebanyakannya merupakan laman web yang mencurigakan, seperti laman sesawang torrent dan juga pornografi, jadi kebiasaannya ia hanya akan menjejaskan para pelawat ke laman web tersebut.

Skrip ini akan menggunakan sumber CPU komputer para pelawat tersebut untuk melombong kriptowang, tetapi menurut HiveCoin, laman web seharusnya membenarkan para pelawat untuk memilih sama ada mereka mahu melombong kriptowang ataupun tidak.

Menurut laporan ZDnet, laman sesawang The Pirate Bay menerima Bitcoin berjumlah $12000 apabila mereka menggunakan skrip melombong tersebut melalui trafik laman web tersebut yang sangat tinggi setiap bulan.

Menariknya, cara penggunaan terbaru skrip CoinHive ini oleh The Pirate Bay mendapat kritikan daripada pembina skrip tersebut, kerana ia tidak memberikan para pengguna pilihan untuk menutup skrip tersebut sekiranya mereka tidak menggunakan AdBlock Plus dan sebagainya.

Kami menasihatkan anda supaya tidak melawat laman-laman sesawang yang mencurigakan ini. Pastikan juga anda menggunakan perisian anti-virus seperti Windows Defender, dan memasang AdBlock pada pelayar web anda.

Komen