MSI merupakan jenama yang tersohor dalam penghasilan komponen komputer serta kelengkapan yang memfokuskan pada permainan video. Pada hari ini mereka telah membuka kedai rasmi mereka di Kuala Lumpur, yang juga merupakan kedai terbesar mereka di dunia setakat ini.
Kedai ini merupakan bangunan dua tingkat yang menempatkan ruang pameran komputer dan peralatan gaming di tingkat bawah. Di ruangan ini, pengguna dapat melihat serta mencuba komputer-komputer keluaran MSI yang terbaru. Menariknya terdapat ruang yang direka khusus untuk membolehkan pengguna merasai pengalaman menggunakan realiti-maya menggunakan komputer mereka.
Manakala ruang permainan Gaming Arena berada di tingkat atas. Ruang permainan ini boleh mengendalikan perlawanan E-sports diantara dua pasukan, dan boleh menempatkan penonton serta pengacara. Malah pihak MSI telahpun mempunyai perancangan aktiviti yang bakal dilakukan di ruangan ini.
Kedai ini terletak di hadapan Plaza Lowyat Kuala Lumpur dan dibuka sepanjang hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Sekiranya anda ingin melihat peranti terkini dari MSI, dengan kewujudan kedai ini semestinya memudahkan anda untuk membuat keputusan bagi memiliki laptop yang tepat untuk tugas anda.