Setelah pelbagai teka-teki, hari ini, pengeluar telefon pintar kedua terbesar di dunia, Huawei telah pun memperkenalkan telefon pintar terbaru mereka, iaitu Huawei Mate 10.
Huawei Mate 10 disasarkan untuk pasaran yang meluas, dimana ia hadir dengan pelbagai ciri-ciri terkini, tetapi menggunakan rekaan peranti dengan skrin 16:9 – dan bukannya berbentuk nirbingkai seumpama Huawei Mate 10 Pro.
Dari segi spesifikasi, Huawei Mate 10 hadir dengan skrin 5.9-inci LCD IPS, dan menawarkan paparan pada resolusi QHD. Huawei Mate 10 dijana menggunakan cip berkuasa Kirin 970 yang turut dilengkapi unit pemprosesan neural, memori 4GB RAM, dan ruangan storan 64GB yang boleh diperluaskan menggunakan kad mikro-SD.
Untuk bahagian rakaman gambar, ia menggunakan dwi-kamera belakang yang mengabungkan lensa 20-megapixel hitam-putih dan 12-megapixel RGB. Lensa baru ini kedua-duanya menawarkan sensor F/1.6 Leica Lens, serta menyertakan ciri-ciri seperti OIS dan juga sokongan Huawei Hybrid Zoom. Pada bahagian hadapan, ia menyertakan kamera 8-megapixel f/2.0.
Dengan rekaan peranti menggunakan skrin 16:9, dan mempunyai bingkai, Huawei Mate 10 turut hadir dengan sokongan bicu audio 3.5mm, selain menggunakan sokongan pengecasan berasaskan USB-C untuk mengecas bateri berkapasiti 4000mAh. Huawei mengatakan pengguna boleh mengecas sehingga 58% dalam masa 30 minit menggunakan Huawei Super Charge.
Huawei Mate 10 turut hadir dengan Android 8.0 Oreo yang menggunakan antaramuka EMUI 8.0. Sejumlah ciri-ciri baru disertakan, termasuk sokongan penggunaan desktop dengan menghubungkan wayar USB-C ke HDMI terus ke monitor.
Buat masa ini, harga jualan dan tarikh jualan rasmi untuk pasaran Malaysia masih tidak diketahui lagi.