Bersama-sama pengenalan Huawei Mate 10, pihak Huawei turut mengambil peluang untuk memperkenalkan sebuah lagi telefon pintar dengan rekaan premium dan spesifikasi yang sedikit tinggi, dinamakan Huawei Mate 10 Pro.
Huawei Mate 10 Pro hadir dengan rekaan skrin nirbingkai – di mana ia menggunakan skrin 6-inci, tetapi dimuatkan dalam badan peranti yang kebiasaannya menawarkan skrin 5.5-inci. Dengan rekaan nirbingkai, Huawei turut mengikut jejak pelbagai pengeluar lain dan menggunakan resolusi 18:9. Berbeza dengan Huawei Mate 10 yang menawarkan resolusi QHD, untuk Huawei Mate 10 Pro, ia menggunakan resolusi FHD, tetapi hadir menggunakan skrin AMOLED.
Melengkapkan telefon pintar ini adalah spesifikasi yang lebih kurang sama dengan Huawei Mate 10. Ia menggunakan cip Kirin 970, menawarkan memori sehingga 6GB RAM, ruangan storan 128GB, serta bateri berkapasiti 4000mAh.
Untuk rakaman gambar, ia menggunakan dwi-kamera Leica di-bahagian belakang menggunakan lensa 20-megapixel hitam-putih dan juga 12-megapixel lensa RGB. Untuk rakaman gambar selfie, Huawei Mate 10 Pro menggunakan lensa 8-megapixel di hadapan.
Huawei Mate 10 Pro turut menawarkan ciri seperti Easy Projection yang menawarkan mod desktop apabila dihubungkan ke skrin – sekaligus membolehkan anda membuat pelbagai tugasan tambahan dengan lebih efisien pada skrin bersaiz besar.
Huawei Mate 10 Pro menggunakan Android 8.0 Oreo dengan antaramuka EMUI 8.0. Ia turut menawarkan ciri kalis air, dan hadir tanpa sokongan bicu-audio. Sebaliknya, Huawei menjanjikan kualiti audio lebih tinggi melalui penggunaan bicu USB-C.
Buat masa ini, harga jualan untuknya masih belum diketahui lagi.