Banyak ura-ura mengenai Samsung Galaxy A (2018) telah kami dengar sejak kebelakangan ini. Antara yang didengari ialah peranti kelas pertengahan ini akan mempunyai rekaan semua-skrin seperti yang ditemui pada Galaxy S. Hari ini imej pengolokan untuk Galaxy A5 (2018) dan Galaxy A7 (2018) telah tertiris.
Imej pengolokan ini dihasilkan menerusi rekaan CAD yang tertiris. Kedua-dua peranti akan dilengkapi panel belakang yang diperbuat daripada kaca. Menarik sekali ia masih mengekalkan hanya sebuah kamera utama pada bahagian belakang. Penggunaan rekaan semua-skrin menyebabkan pengimbas cap jari kini diletakkan di bawah lensa kamera utama. Ini ialah kedudukan yang lebih selesa berbanding yang ditemui pada S8 dan Note 8.
Dari segi spesifikasi A5/A7 dilengkapi skrin 5.5″/6″, pemproses Exynos 7885, memori sebesar 3GB RAM dan storan 32GB. Seperti model tahun lalu ia kalis air IP68, pembesar suara pada sisi kanan dan port pengecasan USB-C. Secara keseluruhan rekaan peranti ini adalah menarik. Tetapi seperti biasa di Malaysia harga amat memainkan peranan di kalang pengguna.