Cari @ Amanz

Beberapa tahun lepas, Huawei merupakan salah satu jenama yang menjadi pertanyaan ramai sebelum membelinya. Pengeluar dari China berkenaan telah hadir dengan pelbagai penawaran menarik sejak memasuki arena telefon pintar, selain turut menawarkan sejumlah peranti pada harga mampu-milik melalui jenama Honor. Kini, Huawei menduduki tangga kedua sebagai pengeluar peranti terbesar dunia – mendahului Apple, dan hanya dibelakang Samsung.

Dalam meneruskan usaha untuk menarik pengguna menggunakan telefon pintar mereka, terkini, Huawei telah pun secara rasminya melancarkan siri telefon pintar terbaru mereka, Huawei Mate 10. Sebanyak tiga peranti ditawarkan dibawahnya, iaitu Huawei Mate 10, Huawei Mate 10 Pro, dan juga Porsche Design Huawei Mate 10.

Huawei Mate 10 – Skrin 5.9-inci Dengan Nisbah 16:9

Huawei melalui siri Mate 10, menawarkan beberapa pilihan berbeza kepada pengguna melalui Mate 10 dan juga Mate 10 Pro. Terlebih dahulu, kita akan melihat kepada Huawei Mate 10.

Huawei Mate 10

Huawei Mate 10 diposisikan pada harga sedikit rendah berbanding dengan Mate 10 Pro. Ini adalah kerana ia tidak menyertakan beberapa ciri-ciri, selain menawarkan sedikit kelainan. Dari segi rekaan, Huawei Mate 10 menggunakan skrin bersaiz 5.9-inci, dan hadir pada rekaan nisbah skrin 16:9 seperti penawaran mereka sebelum ini. Langkah ini mungkin akan membolehkan mereka yang meminati nisbah skrin 16:9 meminati telefon pintar ini – terutamanya jika anda menonton pelbagai video pada telefon pintar dan tidak ingin terganggu dengan bar hitam seperti pada nisbah skrin 18:9. Namun, memandangkan ia membawa kelebaran sedikit tinggi, maka ia mungkin kurang selesa digunakan sebelah tangan jikalau dibandingkan dengan nisbah skrin 18:9 seperti pada Mate 10 Pro.

Dari segi resolusi, Huawei Mate 10 menawarkan resolusi 2K (2560×1440 pixel), selain menggunakan panel IPS LCD. Huawei turut mengatakan mereka menggunakan panel paparan RGBW untuk menawarkan paparan yang lebih cerah dan jelas melaluinya.

Huawei Mate 10

Huawei turut menggunakan rekaan hampir nirbingkai pada Huawei Mate 10, selain menggunakan pengimbas cap jari dihadapan. Telefon pintar ini turut menggunakan rekaan kerangka belakang berasaskan kaca, salah satu trend ramai pengeluar pada tahun ini. Namun, Huawei tidak menyertakan sokongan pengecasan tanpa wayar pada mana-mana model mereka buat masa ini, selain mungkin anda perlu mengelap peranti anda yang memerangkap kesan cap jari pada kerangka belakang kerana penggunaan kaca. Tiada sebarang logo Huawei dipaparkan pada bahagian hadapan telefon pintar Huawei Mate 10 ini. Melengkapkan telefon pintar ini juga adalah sokongan kalis air dan debu IP58, selain sokongan dwi-SIM 4G berbentuk hibrid dengan sokongan mikro-SD.

Huawei Mate 10 Pro – Skrin 6-inci Dengan Nisbah 18:9

Huawei Mate 10 Pro pula telefon pintar dengan skrin bersaiz 6-inci, dan melalui rekaan nirbingkai, ia berjaya dimuatkan dalam telefon pintar yang sebelum ini menawarkan skrin bersaiz sekitar 5.5-inci sahaja.

Huawei Mate 10 Pro

Huawei Mate 10 Pro dilihat memfokuskan kepada keselesaan menggunakannya pada tangan. Ia menggunakan rekaan nisbah 18:9, selain turut menawarkan rekaan kerangka belakang yang sedikit melengkung bagi memberikan keselesaan ditangan.

Mate 10 Pro menggunakan panel OLED pada resolusi 2160×1080 pixel – yang mana sedikit rendah berbanding Huawei Mate 10. Walaubagaimanapun, dengan panel OLED, ia menawarkan sokongan paparan yang lebih jelas dan cantik – termasuk sokongan HDR 10.

Huawei Mate 10 Pro

Huawei Mate 10 Pro meletakkan pengimbas cap jari di belakang, selain tidak menyertakan bicu audio 3.5mm. Sebaliknya, Huawei menggunakan USB-C untuk penawaran audio berkualiti tinggi melaluinya. Sedikit janggal untuk melihat telefon nirbingkai dengan logo di hadapan, tetapi ia tidak memberikan kesan yang besar selepas menggunakannya untuk seketika.

Huawei Mate 10 Pro

Huawei Mate 10 Pro hadir dengan sokongan kalis air dan debu IP67. Tiada sokongan mikro-SD melalui telefon pintar ini, tetapi ia menawarkan sokongan dwi-SIM 4G.

Spesifikasi Dan EMUI

Selain daripada skrin, sejumlah spesifikasi yang ditawarkan pada telefon pintar ini adalah serupa. Kedua-duanya dijana menggunakan cip pemprosesan Kirin 970. Cip ini turut menjadi yang terawal hadir dengan sokongan unit pemprosesan neural, di mana ia menawarkan kadar pemprosesan yang lebih efisien dan pantas berbanding kebiasaan. Walaubagaimanapun, sesuatu aplikasi perlu menyokongnya terlebih dahulu sebelum dapat menggunakan kelebihan NPU padanya. Huawei sendiri mendemonstrasikan keupayaan ini melalui aplikasi kamera terbina mereka. Disamping itu, Huawei turut menyertakan aplikasi Microsoft Translator yang memperlihatkan keupayaan terjemahan lebih pantas berbanding menggunakan aplikasi sama pada peranti Android yang lain.

EMUI

Dari segi memori dan storan, kedua-dua model adalah sedikit berbeza. Huawei Mate 10 hadir dengan 4GB RAM dan 64GB storan yang boleh diperluaskan menggunakan mikro-Sd. Huawei Mate 10 Pro pula hadir dengan sokongan 6GB RAM dan 128GB storan. Kedua-dua model peranti menyokong dwi-SIM, dan pengguna boleh menggunakan dua SIM 4G melaluinya. Huawei turut mengatakan yang mana siri Mate 10 ini adalah antara peranti terawal menyokong rangkaian 4.5G.

Huawei menggunakan Android 8.0 Oreo pada kedua-dua telefon pintar ini, dan melengkapkannya adalah penggunaan antaramuka khusus daripada Huawei dinamakan sebagai EMUI. Untuk kali ini, Huawei mula menyelarikan penggunaan angka versi EMUI dengan angka versi Android – menjadikan telefon pintar ini hadir dengan EMUI 8.0.

EMUI 8.0 meneruskan tradisi penawaran sistem operasi yang seakan rekaan iOS, namun dengan beberapa penambahan lain. Salah satunya adalah ciri seumpama Samsung DeX yang membolehkan pengguna menghubungkan Huawei Mate 10 terus melalui kabel USB-C ke HDMI skrin monitor atau TV, dan menikmati paparan seumpama desktop. Menariknya, pengguna hanya perlukan kabel sahaja yang boleh didapati daripada pelbagai kedai, dan tidak memerlukan sebarang dok khusus seperti Samsung.

Disamping itu, Huawei turut memudahkan pengguna untuk membuat multi-tugasan serta-merta melalui notifikasi yang diterima melalui penyertaan ikon Split Screen pada notifikasi. Apabila menekannya, ia secara automatik akan membuka aplikasi notifikasi berkenaan dengan membahagikan skrin kepada dua.

Huawei Mate 10 Pro

Menariknya juga adalah dimana Huawei Mate 10 dan Mate 10 Pro – kedua-duanya menyertakan sokongan IR Blaster bagi memudahkan anda mengawal pelbagai perkakasan elektronik dirumah dengan mudah. Ini adalah sedikit berbeza dengan pelbagai pengeluar peranti lain yang tidak menyertakannya pada telefon pintar mereka.

Kamera

Huawei Mate 10

Menjadi fokus pada setiap telefon pintar pada hari ini adalah sokongan kamera. Melalui siri Mate 10, pihak Huawei meneruskan kerjasama dengan pihak Leica, dan menawarkan dwi-kamera pada bahagian belakang.

Dwi-kamera belakang menggabungkan lensa 20-megapixel untuk rakaman gambar hitam-putih dan juga 12-megapixel untuk rakaman RGB. Hasil penggunaan kedua-duanya, Huawei menjanjikan rakaman yang cantik melaluinya. Kedua-duanya juga menggunakan sensor F/1.6 untuk menawarkan keupayaan merakamkan gambar pada cahaya malap dengan baik.

Huawei Mate 10

Melengkapkan ia juga adalah sokongan perisian yang dikuasakan oleh NPU pada Kirin 970. Huawei mengatakan kamera Mate 10 boleh mengenal-pasti apakah yang sedang dirakamkan – sebagai contoh adakah ia tumbuhan, landskap, orang, haiwan, teks, dan sebagainya; dan seterusnya mengoptimasikan rakaman serta-merta bagi menawarkan hasil rakaman yang sangat cantik. Huawei mengatakan perkara ini berlaku secara masa-nyata dan pengguna tidak perlu membuat sebarang perubahan pada tetapan.

Huawei Mate 10

Penutup

Huawei sekali lagi dilihat hadir dengan penawaran peranti yang baik untuk pengguna – di mana mereka menyertakan pelbagai permintaan ramai, selain turut membawa beberapa perkara setapak kehadapan – seperti integrasi cip dengan pemprosesan neural, serta bateri berkapasiti 4000mAh.

Untuk pengguna sendiri, anda mungkin akan sedikit mencabar dalam memilih model telefon pintar sama ada Mate 10 atau Mate 10 Pro. Mate 10 Pro dilihat menawarkan memori dan storan lebih tinggi, tetapi tidak menyertakan bicu audio, sokongan kad mikro-SD, dan paparan resolusi sedikit rendah melalui panel OLED. Mate 10 pula menawarkan sokongan bicu audio, mikro-SD, dan paparan resolusi tinggi – tetapi tidak menyertakan sokongan kalis air yang lebih baik, memori sedikit rendah, dan nisbah skrin 16:9 yang mungkin kurang selesa untuk digunakan sebelah tangan.

Huawei Mate 10 Pro

Walaubagaimanapun, apa yang menarik bagi kami adalah dimana Huawei mengekalkan harga jualan Mate 10 seperti Mate 9 tahun lepas, iaitu RM2699 – berbeza berbanding pengeluar lain yang meningkatkan harga jualan mereka berbanding model tahun lepas. Huawei turut menjanjikan harga jualan Mate 10 Pro yang lebih rendah berbanding Mate 9 Pro ketika pengenalan.

Kami akan terus mencuba peranti ini untuk beberapa minggu akan datang, dan hadir dengan ulasan penuh untuknya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd