Cari @ Amanz

Dua model Google Pixel 2 dilancarkan awal bulan lalu dengan pelbagai penambahbaikan. Menarik sekali ia tidak dilengkapi dwi-kamera tetapi bergantung kepada kecerdasan buatan bagi menghasilkan imej bokeh. Hari ini Google mendedahkan Pixel 2 dan Pixel 2 XL sebenarnya hadir dengan cip khas Pixel Visual Core rekaan mereka.

Cip khas ini dihasilkan hanya untuk memproses gambar yang diambil. Ia dilengkapi sebuah pemproses ARM Cortex A53, lapan Image Processing Using (IPU) dan memorinya tersendiri. Dengan penggunaan Pixel Visual Core, proses mengambil gambar HDR+ menjadi lima kali ganda lebih pantas tetapi hanya menggunakan 1/10 kuasa berbanding sebelum ini.

Menarik sekali ialah cip Pixel Visual Core ini masih belum diaktifkan pada peranti Pixel 2. Ia hanya akan diaktifkan dalam masa beberapa bulan dari sekarang dan boleh dicuba oleh pengguna Android 8.1 Developer Preview kelak. Pada waktu ini Pixel 2 gah di tangga teratas DXOMark, selepas Pixel Visual Core diaktifkan markah mungkin akan bertambah kerana kemampuan kamera yang dipertingkatkan.

Google akan membenarkan pembangun aplikasi pihak ketiga untuk mengakses fungsi Pixel Visual Core di masa hadapan. Apa yang dilakukan ini menarik kerana sebelum ini tugas memproses imej dilakukan oleh pemproses yang mempunyai ISP tersendiri.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd