Cari @ Amanz

Facebook Live merupakan sokongan siaran langsung daripada gergasi laman sosial, Facebook. Melaluinya, pengguna sering menggunakan untuk menstrim apa yang sedang dilakukan atau berlaku sekitar mereka.

Pada masa yang sama, ia turut digunakan sesetengah pengguna untuk berkongsi sesuatu daripada komputer mereka – seperti permainan yang sedang dimainkan dan sebagainya. Jikalau sebelum ini, untuk tujuan perkongsian daripada komputer sendiri memerlukan perisian pihak ketiga – kini Facebook mengatasinya dan memudahkan proses berkenaan.

Facebook Live

Bermula hari ini, Facebook telah menambah sokongan yang dinamakan “Share Screen” apabila anda memilih untuk melakukan Facebook Live. Memilih pilihan berkenaan akan memuat-turun sebuah pemalam khusus Chrome – sekaligus membolehkan anda berkongsi paparan skrin daripada desktop ke Facebook Live. Anda boleh memilih sebarang perisian yang ingin anda siarkan secara langsung melalui Facebook Live – atau memilih suatu tab Chrome, dan sebagainya.

Dengan langkah ini juga, tidak mustahil kita melihat lebih banyak permainan yang distrim melalui platform berkenaan dalam masa terdekat ini.

Bagi anda yang aktif menggunakan Facebook Live, mungkin boleh menyemak ciri baru ini melalui akaun Facebook anda di desktop hari ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd